Lagi kes kanak-kanak maut terjatuh bangunan

Lagi kes kanak-kanak maut terjatuh bangunan

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah pangsapuri di Presint 5 Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada dalam bilik tidur seorang diri selepas mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, mangsa hanya tinggal bersama kakaknya berusia 14 tahun dan adik lelaki berusia tujuh tahun, manakala ibu bapa mereka keluar bekerja, lapor portal akhbar FMT.

Katanya, sebaik pasangan itu pulang dari tempat kerja pada jam 6 petang, bilik mangsa didapati berkunci dari dalam.

“Selepas membuka pintu dengan kunci pendua, mangsa didapati tiada di dalam bilik dan tingkap dan jeriji terbuka. Ibu bapa mangsa bergegas turun ke tingkat bawah pangsapuri dan mendapati orang ramai sedang berkumpul melihat anaknya yang terbaring di atas lantai,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Katanya, mangsa yang berada dalam keadaan kritikal diberikan rawatan kecemasan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat (JBPM) pada jam 6.45 petang dan dibawa ke Hospital Putrajaya oleh ambulans.

“Hasil pemeriksaan di bilik mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan pemeriksaan doktor mendapati mangsa patah kedua belah siku dan kaki kiri manakala punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat diadakan.”

“Mangsa meninggal dunia di hospital pada 7 petang dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.