Lagi kes maut babitkan pemandu mabuk, mana suara menteri agama yang garang dahulu?
Siasatan polis mendapati lelaki yang maut dalam kemalangan di Persiaran Saujana Impian di sini, pagi hari ini dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, polis menerima laporan kejadian itu pada 5.15 pagi.
“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 24 tahun itu dalam perjalanan dari rumah rakannya di Sungai Long untuk pulang ke rumahnya di Taman Kajang Perdana.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan di lorong kanan menyebabkan kenderaannya itu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol berdasarkan bau minuman keras, namun sampel darah akan diambil untuk analisis,” katanya.
Katanya, mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber – Harian Metro