Lagi skandal libatkan kerajaan Muhyiddin, catat rekod tertinggi selenggaraan kereta menteri ketika PKP

Lagi skandal libatkan kerajaan Muhyiddin, catat rekod tertinggi selenggaraan kereta menteri ketika PKP

Era pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 mencatatkan kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta menteri tertinggi iaitu sebanyak RM672,000 berbanding pada dua tahun berikutnya.

Memetik Sinar Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kos penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan menteri pada tahun 2021 pula berjumlah RM478,991.50 manakala bagi tahun 2022 sebanyak RM450,690.66.

Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, jumlah keseluruhan penyelenggaraan bagi tempoh 2020 hingga 2022 melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1,601,682.16

“Menteri-menteri persekutuan dibekalkan dengan kenderaan rasmi jawatan (KRJ) model Toyota Vellfire 2.5L bermula April 2021 bagi menggantikan Proton Perdana 2.4L yang dihentikan pengeluaran.

“Kerajaan membayar kos pajakan bulanan terdiri daripada kos sewaan serta kos penyelenggaraan dan pembaikan bagi setiap KRJ tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat di sini.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta beliau menyatakan secara terperinci jumlah kos penyelenggaraan semua kereta menteri dari 2020 hingga 2022.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 selepas mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berpunca daripada kemelut politik yang dipanggil Langkah Sheraton.

Jemaah menteri Muhyiddin dianggotai 32 menteri dan 38 timbalan menteri sebelum kerajaan campuran diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga terbubar pada 16 Ogos 2021 apabila Ahli Parlimen Pagoh itu bersama kabinetnya meletakkan jawatan susulan hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kemudiannya Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021 tetapi kerajaan campuran diterajuinya juga cuma bertahan dalam masa singkat iaitu selama 11 bulan sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022 untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).