Laksana ‘lockdown’ bersasar tangani Covid-19, cadangan Sultan Ibrahim satu tamparan hebat buat Muhyiddin

Laksana ‘lockdown’ bersasar tangani Covid-19, cadangan Sultan Ibrahim satu tamparan hebat buat Muhyiddin

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan kepada kerajaan supaya melaksanakan “lockdown” secara bersasar melibatkan negeri bersempadan bagi menangani peningkatan kes Covid -19.

“Ini boleh dilakukan tanpa menghentikan kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya. Saya mencadangkan ‘lockdown’ penuh secara bersasar mengikut negeri atau rantau.

“Contohnya zon selatan-Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ‘full lockdown’ selama dua minggu diikuti zon lain seperti di pantai timur (Pahang, Terengganu, Kelantan),” titah Sultan Ibrahim menerusi Facebook rasmi baginda hari ini.

Titah baginda negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh itu boleh meneruskan kegiatan ekonomi berdasarkan prosedur operasi standard PKP biasa, dan dengan itu bilangan kes dapat ditangani tanpa menutup kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Sultan Ibrahim berharap cadangan baginda akan dipertimbang oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Sudah tidak terkata lagi kebimbangan dan ketakutan tentang situasi Covid-19 di negara ini kita.

“Saya mencadangkan perkara ini atas keprihatinan kepada nasib yang menimpa negara kita. Saya harap ia akan dipertimbangkan sebaiknya oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” titah Sultan Johor. – FMT