Laksana ujian Covid-19 terhadap murid, arahan KPM ancam nyawa guru – NUTP
Radzi Jidin sekali pagi menjadi tumpuan umum selepas beberapa tindakannya kebelakangan ini dianggap tidak memihak kepada warga pendidik.
Dia yang tewas bertanding di Parlimen Ketereh sewaktu PRU-14 lepas, didakwa bukan calon terbaik bagi memimpin KPM.
Malah sikapnya yang sering mendatangkan masalah kepada warga pendidik mula menimbulkan rasa tidak senang mereka terhadap kepimpinannya.
Belumpun selesai isu dilanggar timbalannya, Mah Hang Soon dalam isu pertukaran papan tanda SJKC di Pahang selepas tidak meletakkan tulisan Cina dan Tamil, timbul pula isu baharu babitkan arahan ujian Covid-19 ke atas pelajar sekolah rendah.
Menurut laporan portal akhbar FMT, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam membantah arahan KPM yang meminta guru menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas murid sekolah rendah yang akan diadakan setiap hari Rabu mulai semalam.
Setiausaha Agungnya Wang Heng Suan berkata, pihaknya menerima rungutan daripada guru memaklumkan bahawa langkah tersebut mendatangkan bahaya dan risiko yang tinggi.
Weng berkata, ini kerana guru tidak diberi sebarang perlindungan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), sarung tangan, “face shield” dan lain-lain.
Beliau berkata, NUTP mencadangkan agar ujian saringan itu dilakukan oleh ibu bapa pelajar di kediaman mereka masing-masing, dengan dimaklumkan sehari sebelum dan dibekalkan kit ujian kendiri.
Kemudian ibu bapa diminta mengemukakan keputusan ujian dengan memuat turun gambar kepada guru kelas dan jika keputusan negatif pelajar boleh dibenarkan hadir ke sekolah.
“Pihak NUTP berpendapat cara ini dapat mengelakkan berlakunya penularan jangkitan kepada guru dan warga sekolah dengan sekolah akan ditutup jika ada murid yang positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, akhbar Sinchew Daily melaporkan, pihak sekolah tidak berpuas hati dengan arahan Kementerian Pendidikan yang didakwa mereka kurang jelas, alat ujian belum sampai ke sekolah, malahan ada yang bimbang ujian kendalian pihak sekolah akan meningkatkan risiko jangkitan.
Seorang guru besar berkata, pihaknya masih menunggu arahan lebih jelas daripada kementerian mengenai usaha untuk menyaring 10 peratus pelajar setiap minggu.
Katanya, usaha itu menghadapi masalah dari segi pelaksanaan kerana memerlukan masa yang panjang dan menambahkan beban kerja cikgu.
“Keadaannya adalah lebih susah untuk sekolah bersaiz besar dengan murid yang banyak kerana jumlah pelajar yang perlu disaring juga sangat banyak,” katanya lagi.