Laluan Pas tak bermakna, 17 kerusi bertembung sesama PN, BN dan PBS
Nampaknya ‘pertembungan mesra’ antara sahabat politik Perikatan Nasional, BN dan PBS dalam pilihan raya Sabah telah meningkat daripada 11 kerusi menjadi 17 kerusi.
Ini selepas BN dan PBS menukar keputusan perjanjian rundingan mereka dengan meletakkan lebih banyak calon daripada jumlah calon yang telah diumumkan pada hari Khamis.
Satu-satunya ahli sekutu yang memegang kata-katanya ialah PN, yang berjanji untuk bertanding 29 kerusi dalam pilihan raya Sabah dan mengotakannya semasa proses penamaan calon pagi ini.
PBS berjanji mahu meletakkan 15 calon tetapi hari ini meletakkan 22 calon manakala BN yang berjanji akan meletakkan 40 calon akhirnya menambah bilangan menjadi 41 calon.
Bahkan sebelum hari penamaan calon lagi, parti-parti sekutu yang merujuk sebagai Gabungan Rakyat Sabah itu dijangka bertembung sesama sendiri di 11 kerusi DUN.
Muhyiddin tiba di Kota Kinabalu semalam dalam usaha terakhir untuk menghalang pertembungan di 11 kerusi itu tetapi gagal meleraikan kebuntuan.
Berikut senarai 17 kerusi DUN yang bakal menyaksikan bertembungan sesama sendiri antara BN, PN dan PBS:
N02 Bengkoka – Umno vs PBS
N05 Matunggong – PBRS vs PBS
N07 Tandek – PBRS vs PBS
N11 Kadamaian – PBRS vs PBS
N22 Tanjung Aru – Umno vs PBS
N25 Kapayan – MCA vs PBS
N26 Moyog – Star vs PBS
N34 Lumadan – Umno vs PBS
N38 Paginatan – Umno vs Star vs PBS
N39 Tambunan – Star vs PBS
N40 Bingkor – Star vs PBS
N41 Liawan – Star vs PBS
N42 Melalap – Umno vs PBS
N44 Tulid – Star vs PBRS vs PBS
N45 Sook – Star vs PBRS
N47 Telupid – Umno vs PBS
N54 Karamunting MCA vs PBS
Ketika penamaan calon pagi ini, BN memutuskan untuk menamakan Jamawi Ja’afar bertanding kerusi DUN Melalap membawakan pertembungan dengan PBS.
Jamawi, sebelum ini berpaling tadah dari Umno untuk menyertai Warisan dan kemudian menyokong idea rampasan kuasa bekas ketua menteri Musa Aman terhadap kerajaan Sabah yang dipimpin Warisan.
Bagaimanapun, namanya tidak termasuk dalam senarai calon Umno yang diumumkan pada Khamis.
Dengan penglibatan Jamawi, Umno akan bertanding di 32 kerusi, diikuti dengan lima dari PBRS dan empat MCA, membawa kepada jumlah keseluruhan 41 kerusi di bawah naungan BN.
Sementara itu tiga parti menggunakan logo PN, iaitu Bersatu (19 kerusi), STAR (8 kerusi) dan SAPP (dua kerusi). PBS menggunakan logo sendiri.
Kesemua tiga parti ini, kecuali SAPP sebahagian dari kerajaan persekutuan PN tetapi bertanding menggunakan tiga logo berlainan pada PRN Sabah.
Sumber : Malaysiakini