Langgar akta: Pengerusi Fama pula tempelak bekas menteri, tetap pertahan arahan Mat Sabu
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Aminuddin Zulkipli menegur bekas menteri pertanian dan industri makanan yang didakwanya terkhilaf mentafsir Akta Fama dalam isu bekalan beras.
Aminuddin berkata Ronald Kiandee dalam kenyataan semalam hanya berpandukan Seksyen 2 dan 3(4) akta berkenaan untuk menyokong dakwaannya bahawa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu tidak boleh mengarahkan Fama mengedar beras.
Namun, beliau mengingatkan Ahli Parlimen Beluran dari Perikatan Nasional (PN) itu bahawa tafsiran sebetulnya harus ambil kira Seksyen 1A yang jelas menyebut ‘melainkan konteks mengkehendaki selainnya’, mengambil kira situasi kekurangan beras tempatan ketika ini.
Menurutnya, tanggungjawab berkaitan keterjaminan makanan dan beras yang menjadi makanan ruji rakyat di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Dengan membaca secara menyeluruh dan memahami secara betul peruntukan dalam Seksyen 1A dan Seksyen 3(4), kedua-dua seksyen itu telah membenarkan seorang menteri untuk tidak terikat secara ‘jumud’ kepada halangan atau sekatan di dalam tafsiran tersebut.
“Perkataan ‘melainkan konteks mengkehendaki selainnya’ satu ‘qualifier’ (penerang) kepada takrif dalam peruntukan Seksyen 1A dan membenarkan fleksibiliti dalam mentafsirkan produk pertanian,” katanya kepada FMT.
“Jika Akta Fama tiada perkataan ‘melainkan konteks mengkehendaki selainnya’, bekas menteri itu boleh dikatakan betul pembacaan dan tafsiran undang-undangnya.
“Tetapi jika dalam Akta Fama ada perkataan itu, maaflah bekas menteri itu salah,” tegas Aminuddin.
Beliau mengulas dakwaan Kiandee bahawa menteri tidak boleh mengarahkan Fama menguruskan jualan beras kerana bertentangan akta, susulan kenyataan Aminuddin mempertahankan tindakan Mohamad berbuat demikian seperti dilaporkan FMT.
Selasa lalu, Muhyiddin pada kempen PRK Pelangai membidas arahan mengarahkan Fama menguruskan isu bekalan beras dan mendakwa membebankan tugas agensi berkenaan, yang selama ini bertanggungjawab dalam pemasaran produk agro-makanan antaranya sayur-sayuran.