Langkah penjimatan, kerajaan jamin elaun menteri tidak diusik

Langkah penjimatan, kerajaan jamin elaun menteri tidak diusik

Kerajaan tidak bercadang memotong elaun menteri, termasuk pegawai atasan sebagai antara langkah penjimatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Katanya, tiada perancangan berbangkit untuk melakukan pemotongan terhadap elaun perjawatan berkenaan.

“Itu (pemotongan elaun) tak berbangkit setakat ini,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada terdapat keperluan bagi kerajaan melakukan pemotongan elaun pegawai tertinggi dan menteri sebagai langkah berjimat.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, langkah penjimatan dilakukan kerajaan tidak sepatutnya menimbulkan kegusaran kerana merangkumi sejumlah projek sahaja dan tidak membabitkan kos besar.

Sehubungan itu, katanya segala kebimbangan berhubung pengumuman penjimatan oleh kerajaan adalah tidak berasas.

“Setakat ini, cuma 30 daripada lebih 7,000 projek membabitkan RM100 juta sahaja peruntukan pembangunan daripada RM75 bilion. Angka ini kecil.

“Jadi, ini tidak harus membimbangkan. Projek yang sudah bermula, sudah ada reka bentuk dan sudah diiklankan tak ada masalah.

“Justeru, kerisauan yang timbul ini ialah tidak berasas. Urusan mengurus perlu diutamakan. Ini baru perancangan sebelum dimuktamadkan dan libat urus sedang berjalan antara EPU (Unit Perancang Ekonomi), MOF (Kementerian Kewangan dan KSU (ketua setiausaha),” katanya.

Mustapa berkata, kerajaan kekal mengambil langkah berwaspada supaya ia tidak mengganggu pelan pemulihan ekonomi negara.

Beliau menegaskan pendekatan sebegitu penting ketika negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi.

“Kita harus menumpukan kepada pembangunan yang penting yang akan tetap diteruskan (oleh kerajaan). Insya-Allah ekonomi negara semakin pulih dan kita tak boleh rencatkan permulaan ini. Yang penting penjimatan sudahpun digariskan dalam surat pekeliling bertarikh 14 Jul lalu membabitkan peruntukan mengurus untuk sepanjang tahun ini,” katanya.

Baru-baru ini, MOF meminta semua kementerian, jabatan, agensi, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) untuk melaksanakan penjimatan dalam bagi menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip serta peraturan pengurusan kewangan ditetapkan.

Menerusi arahan terkandung dalam garis panduan penjimatan perbelanjaan awam dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon, pada 14 Jul.

Mengikut garis panduan itu, setiap kementerian, agensi dan jabatan terbabit perlu menyusun semula peruntukan dan mencadangkan penjimatan mengurus sehingga mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5% daripada baki peruntukan mengurus, pada tahun ini.

Garis panduan itu juga menetapkan pelaksanaan program yang diluluskan juga hendaklah ditampung daripada peruntukan sedia ada, kecuali membabitkan kes tertentu membabitkan implikasi kos besar dan ia dianggap kritikal oleh Jemaah Menteri.