Lantik ‘bbnu’ sebagai ikon pemotoran anak muda, Wan Fayhsal undang makian berjemaah netizen

Lantik ‘bbnu’ sebagai ikon pemotoran anak muda, Wan Fayhsal undang makian berjemaah netizen

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal hari ini mengundang kemarahan peminat pemotoran negara selepas tindakannya melantik seorang budak hingusan sebagai ikon pemotoran anak muda negara.

Fayhsal yang juga merupakan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat pengumuman tersebut di dalam laman rasmi Facebook miliknya semalam.

Pemuda yang dilantik sebagai ikon tersebut dikenali dengan nama Haqiem Stopa berusia 22 tahun namun tidak dikenali di kalangan otai dan peminat sukan pemotoran negara.

Namun dia dikatakan cukup terkenal melalui pelantar aplikasi Tik Tok dan sehingga kini telah mengumpul lebih 700 ribu pengikut.

Perkongsian mengenai pelantikan ikon pemotoran anak muda yang dibuat Fayhsal ketika ini telah mendapat hampir 10 ribu tanda suka dan dikomen lebih 12 ribu pengunjung.

Antara selebriti terkenal yang turut meninggalkan komen ialah ikon fesyen terkenal, Wak Doyok.

Sementara itu, rata-rata peminat pemotoran menganggap tindakan mengangkat ‘budak baru nak up’ (bbnu) tersebut sebagai ikon pemotoran anak muda dianggap tindakan terdesak Fayhsal meraih sokongan pengundi muda ketika berdepan pilihanraya umum tidak lama lagi.

Malah, mereka berpendapat tindakan Fayhsal itu satu penghinaan terhadap ramai lagi bekas jaguh pemotoran yang sekian lama telah berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia selama ini.