Lawat pusat ramalan banjir tanda Agong tolak bubar parlimen

Lawat pusat ramalan banjir tanda Agong tolak bubar parlimen

Yang di-Pertuan Agong akan diberi taklimat berhubung situasi banjir dan cuaca akhir tahun di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), hari ini.

Memetik Malaysiakini, jadual sesi hari ini antara lain menyatakan taklimat akan diberikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Menurut pegawai Istana Negara yang turut hadir, pihak istana meminta taklimat diberikan agar Agong dapat menilai persediaan agensi kerajaan untuk menangani musim banjir tak lama lagi.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah tiba di PRABN pada 10.30 pagi ini dan disambut oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Lawatan Agong ini di tengah desakan kepimpinan tertinggi Umno agar Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob segera membubarkan Parlimen, bagi memberi laluan kepada PRU15.

PH dan Perikatan Nasional (PN) pula berpandangan PRU15 hanya diadakan selepas musim monsun timur laut iaitu bermula November ini sehingga Mac tahun depan.

Semalam, Zaini dalam satu hantaran di Facebook berkongsi maklumat grafik yang menunjukkan ramalan hujan untuk semua 14 negeri bagi bulan Sept 2022 hingga Feb 2023.

Menurut infografik itu, Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan puncak pada bulan Disember manakala negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dijangka mencatatkan hujan paling banyak pada November.

Sementara itu, ramalan bagi Sabah dan Sarawak menyaksikan kedua-dua negeri Malaysia Timur itu menerima hujan puncak pada Feb 2023.

Ismail Sabri dijadual mengadap Agong pada pukul empat petang hari ini sebelum kabinet bermesyuarat esok. Belanjawan 2023 kemudian dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas itu.