“Lebih baik anak dia masuk NGO” Sanusi lancar serangan baru dituju kepada Anwar

“Lebih baik anak dia masuk NGO” Sanusi lancar serangan baru dituju kepada Anwar

 

Pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan dianggap sesuatu yang luar biasa kerana tidak pernah dilakukan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, timbul pelbagai persoalan dalam pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kerana ia membabitkan pelantikan pegawai yang berkhidmat kepada kerajaan tanpa mendapat bayaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibimbangi akan dijadikan penanda aras kepada pemimpin politik lain dalam melantik ahli keluarga terdekat menjawat jawatan penting dalam kerajaan selepas ini.

“Amalan ini tidak pernah dilakukan selama ini, ia nampak luar biasa. Saya tak tahu sama ada perkara ini akan dijadikan penanda aras kepada semua orang politik untuk anak mereka boleh terbabit dalam kerajaan tanpa mengambil gaji.

“Kalau dia (Nurul Izzah) tak ambil gaji, perjawatan dia macam khidmat sosial pula, lebih baik dia pergi buat kerja badan bukan kerajaan (NGO) sebab kerja NGO tak dapat bayaran.

“Tetapi dia kerja untuk menasihati polisi kerajaan, jaga perolehan, mahu memastikan tender diurus dengan betul. Itu kerja pegawai kerajaan,” katanya lapor Berita Harian selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Seri Mentaloon di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Nurul Izzah mendedahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, anaknya itu tidak akan menerima sebarang elaun atas khidmatnya selepas beliau sendiri mempelawa Nurul Izzah membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut mempertikai, adakah boleh seseorang yang dilantik ke jawatan kanan di Kementerian Kewangan tidak mengambil bayaran mengikut yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.

Katanya, setiap perkhidmatan kepada kerajaan sepatutnya mempunyai bayaran gaji dan elaun tertentu bagi memastikan ia tertakluk mengikut ikatan undang-undang.

“Saya rasa tak ada perjawatan seperti itu, perjawatan itu apabila buat perkhidmatan maka ada bayaran. Kalau perkhidmatan diberi, bayaran tak ada maka itu bukan pekerjaan.

“Setiap pegawai kerajaan yang dilantik dalam skim perkhidmatan perlu ada skim saraan, setiap pegawai ada ikatan undang-undang supaya setiap kerja dan pandangannya tertakluk kepada undang-undang serta berkuat kuasa kepada kerajaan.

“Kita sebenarnya sudah ada Ketua Setiausaha kementerian (KSU) dan bahagian audit untuk buat semua urusan itu, jadi tak perlu tambah lagi jawatan, tetapi kalau dia (Nurul Izzah) nak kerja, perlu ada skim saraan, buat apa dia nak malu-malu ambil gaji,” katanya.