Leka ‘berdengung’, 43 pengunjung pusat hiburan didenda RM235, 000

Leka ‘berdengung’, 43 pengunjung pusat hiburan didenda RM235, 000

Seramai 43 pengunjung sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur dikompaun RM235,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP), malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Azman Ayob berkata, dalam serbuan Ops Khas itu juga pemilik premis turut dikenakan kompaun berjumlah RM25,000, seperti dilaporkan portal FMT.

Beliau berkata, polis juga berjaya merampas 441 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM220,500.00 berikutan kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais serta rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 bagi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata, dalam serbuan sama juga, seramai 43 pengunjung disaring ujian air kencing dan hasil keputusan semuanya adalah negatif.

“Operasi ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam merealisasikan matlamat kerajaan menghentikan penularan Wabak Covid-19 di negara kita,” tambah beliau