Lelaki bertukar jantina sah dijadikan isteri – Mufti Johor

Lelaki bertukar jantina sah dijadikan isteri – Mufti Johor

Tukar Jantina – Apa Kata Timbalan Mufti Johor 46 Tahun Yang Lalu?

BERITA HARIAN – 10 November 1975

Lelaki yang benar-benar sah jadi perempuan memang boleh dijadikan isteri – Timbalan Mufti

Johor Bahru, Ahad – Timbalan Mufti Johor, Datuk Syed Alwee Abdullah menyatakan dia yakin Cik Sari Kartina binti Abdul Karim benar-benar telah menjadi seorang perempuan.

“Hanya orang-orang yang tidak mengikuti perkembangan ilmu sains yang meluas tidak akan percaya perkara yang telah terjadi ke atas Cik Kartina itu akan berlaku. Misalnya, masih ada orang-orang yang belum mahu mengakui dan mempercayai manusia telah sampai ke bulan.”

Timbalan Mufti telah menyatakan demikian ketika diminta pandangan terhadap peristiwa Cik Kartina yang telah menjalani pembedahan bertukar jantina.

Cik Kartina, 24 tahun, dulunya seorang lelaki bernama Mohd Fauzi menjalani pembedahan bertukar jantina di Hospital Kandang Kerbau, Singapura pada 24 Oktober 1974.

Dia telah dinikahkan dengan Encik Abdul Razak Osman, 26 tahun seorang peniaga dari Singapura, di pejabat Timbalan Mufti pagi Selasa lepas.

Timbalan Mufti dalam satu pertemuan menyatakan, banyak pendapat yang membolehkan penukaran jantina dari lelaki kepada perempuan, jika perkara itu benar-benar boleh dilakukan.

Katanya apabila seseorang itu telah sah menjadi perempuan, maka tidak ada halangan baginya untuk bernikah dengan seorang lelaki.

Datuk Syed Alwee menerangkan, mengikut perkembangan ilmu kedoktoran pada masa ini telah berjaya mengubah keadaan seseorang itu dari satu jenis kepada satu jenis yang lain sebagaimana yang telah berlaku ke atas Cik Kartina serta yang lain-lain.

Beliau menjelaskan, menurut syarat-syarat seseorang yang menjadi isteri hendaklah perempuan dan bukan isteri orang lain atau bukan seorang khunsa. Mereka juga bukan seorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu khunsa atau kedi, tambah beliau.

Mengenai Cik Kartina, Timbalan Mufti menyatakan Kartina mempunyai bukti yang terang dan sah dari seorang pakar pembedahan dan perbidanan di Singapura yang dia telah menjadi seorang wanita.

Katanya Cik Kartina sebelum dinikahkan telah bersumpah dan mengaku dirinya seorang perempuan dan keinginan nafsunya ialah kepada lelaki.

“Kerana itu saya yakin dia benar-benar telah menjadi seorang wanita dan telah dinikahkan”, tegas Datuk Syed Alwee.

Beliau menjelaskan lagi perubahan seseorang bertukar jantina menjadi wanita melalui satu pembedahan bukan sesuatu perkara baru.

Ditanya mengenai kenyataan Cik Kartina yang dia tidak boleh beranak, Datuk Syed Alwee berkata masalah anak tidak menjadi halangan bagi seorang perempuan.

Menurutnya, seorang perempuan yang mandul dan memotong rahimnya atas sebab-sebab kesihatan tentu tidak boleh beranak. Agama mencegah seseorang perempuan membuang rahimnya tetapi kalau sudah nasihat doktor terpaksalah dilakukan.

Timbalan Mufti menyatakan lagi tiap-tiap orang yang berkahwin memang hendakkan anak, tetapi dalam dunia ini terdapat banyak perkara yang ganjil-ganjil.

“Kalau kita mengikuti perkembangan sains hari ini maka tidaklah menjadi hairan sesuatu penyakit itu boleh dan dapat diubati’, katanya.

***

* Datuk Syed Alwee Abdullah kemudiannya menjadi Mufti Johor dari tahun 1977 hingga 1981. Beliau meninggal dunia pada tahun 1988

#sarikartina

Kredit : FB Mohamed Hadi AH