Lelaki curi RM22 tabung masjid buat beli susu anak, ahli perniagaan bantu sediakan peguam

Lelaki curi RM22 tabung masjid buat beli susu anak, ahli perniagaan bantu sediakan peguam

 

Seorang ahli perniagaan dikenali sebagai  Datuk Seri Sunny Ung telah menawarkan khidmat peguam bela bagi kes seorang tukang rumah yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 7 September lalu kerana mencuri duit tabung masjid sebanyak RM22.

Mencuri sebab nak beli susu anak

Menerusi laporan dari Kosmo! Sunny Ung berpendapat Orang Kena Tuduh (OKT) itu perlu mendapatkan pembelaan sewajarnya memandangkan OKT tidak diwakili mana-mana peguan serta bertindak sebegitu atas tujuan membeli susu anak.

Saya difahamkan, OKT melakukan perkara itu kerana mahu membeli susu untuk anaknya.

“Saya juga difahamkan, OKT tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam kes tersebut, disebabkan hal itu, saya menawarkan khidmat peguam Tetuan Ahmad Deniel Ruben & Co yang mana segala kos akan saya tanggung sepenuhnya,” ujarnya.

Harap kes dapat diselesaikan secara baik

Dalam pada itu, dia juga berpendapat bahawa kes ini boleh diselesaikan secara baik tanpa dibawa ke mahkamah kerana mungkin OKT berada dalam keadaan terdesak.

“Difahamkan OKT mengambil keputusan mencuri duit tabung masjid selepas dimarahi ibunya kerana tidak mempunyai wang untuk membeli susu dan barangan keperluan lain.

“Saya juga berpendapat kes ini boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu membawa ke mahkamah memandangkan OKT berada dalam keadaan terdesak,” jelasnya.

Terdahulu, seorang lelaki dikenali sebagai Suhaidi Abdul Hamid, 45 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan, Majistret Noor Mazrinie Mahmod.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung Masjid Pulau Sekati, Kuala Terengganu .

Kesalahan dilakukan pada 27 Jun lalu jam 9.15 malam.

Perbuatan tertuduh terbongkar melalui rakaman litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan yang menunjukkan tertuduh mencuri duit tabung masjid sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal. Dia telah ditangkap sewaktu berada di pasaraya di Kuala Nerus sekitar 3 Julai lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda .

Difahamkan, ketika ditangkap, tertuduh juga didapati positif dadah dan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.