Lelaki didenda RM5 ribu gara-gara tunjuk ‘anu’ ketika anak saudara perempuan potong bawang

Lelaki didenda RM5 ribu gara-gara tunjuk ‘anu’ ketika anak saudara perempuan potong bawang

 

Seorang buruh didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan anak saudara perempuannya dengan mencium pipi selain menunjukkan kemaluan ketika wanita itu memotong bawang di dapur.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha mendenda lelaki berusia 49 tahun itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut. Denda itu dijelaskannya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan anak saudaranya berusia 24 tahun, dengan memegang bahu, memicit sehingga ke rusuk kiri, mencium pipi dan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Medan, di sini pukul 8.30 malam pada 15 Julai lalu. Tertuduh didakwa mengikut Sekyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan kes yang berlaku.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang memotong bawang di dapur sebelum didatangi bapa saudaranya lalu berdiri di sebelah kiri. Lelaki itu kemudiannya mencabul mangsa dengan menyentuh belakang badan, mencium dan menunjukkan kemaluannya.