Lelaki direman 4 hari atas dakwaan memiliki 15 permit pergerakan palsu

Lelaki direman 4 hari atas dakwaan memiliki 15 permit pergerakan palsu

Tindakan seorang lelaki memiliki permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disyaki palsu mengundang padah apabila dia ditahan.

Penahanan lelaki itu dilakukan di Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur oleh anggota Balai Polis Sri Petaling sewaktu sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah kira-kira pukul 6.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, sewaktu sedang melakukan rondaan, anggota bertugas telah terlihat sebuah kereta jenis Honda City dipandu dalam keadaan mencurigakan dan telah bertindak menahan kereta berkenaan bagi tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan sebanyak 15 keping dokumen permit PKPB disyaki palsu yang turut mempunyai tandatangan dan cop balai polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anuar, suspek, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur dan telah dibenarkan reman empat hari sehingga 27 April ini.

“Polis sedang menyiasat sama ada kesemua dokumen tersebut adalah untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

“Tindakan memalsukan permit pergerakan PKPB atas tujuan yang bertentangan dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya. – Utusan