Lelaki ini dedah rahsia berjaya jual duit kertas RM1 dengan harga RM1,000

Lelaki ini dedah rahsia berjaya jual duit kertas RM1 dengan harga RM1,000

 

SIAPA sangka wang kertas RM1 yang masih boleh digunakan dalam pasaran mampu memberi nilai berlipat ganda.

Ramai yang tertanya-tanya mengenai keistimewaan wang kertas RM1 milik seorang pemuda ini sehingga ia dibeli pada harga RM1,000 oleh seorang pengumpul wang lama, baru-baru ini.

Perkongsian video mengenai seorang pemuda yang menerima RM1,000 selepas menjual wang kertas RM1 menjadi tular sehingga lebih 3.4 juta tontonan di TikTok.

Berkongsi cerita kepada mStar, pengumpul wang lama yang lebih dikenali sebagai Ah Kai berkata, wang lama merupakan sebahagian bisnes dan juga adalah hobinya sejak dulu.

Pemuda berjaya jual duit kertas RM1 dengan harga RM1,000, puas hati bila dapat tahu kenapa

Wang kertas RM1 dengan nombor siri 8 menjadi perhatian.

“Saya suka kumpul duit Malaysia dan Malaya sebab saya suka dan cinta negara ni. Saya suka sejarah Malaysia.

“Hobi ini bermula sejak saya kecil, tapi betul-betul menjadikannya sebagai bisnes bermula tahun 2012,” kata pemuda yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ubah suai rumah terperanjat, jumpa wang tunai RM240 ribu tertanam dalam dinding

Ah Kai yang berusia 31 tahun menjelaskan bahawa RM1 yang masih digunakan sekarang tidak begitu istimewa kerana wang kertas yang ditandatangani oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz masih terlalu banyak.

“Tapi dalam video ni, duit dia bernilai tinggi kerana nombor sirinya semua sama iaitu lapan, dan saya suka. Sebab itulah saya beli dengan harga tinggi.

“Saya tawar (nilai) dan dia bersetuju dan amat gembira sebab kedai lain hanya boleh beli antara RM300 hingga RM700. Tapi saya beri dia RM1,000,” katanya.

Ah Kai menyerahkan sejumlah wang kepada pemilik wang kertas RM1.

Mengulas lanjut, Ah Kai memberitahu, nombor siri lapan tersebut bukan sahaja dianggap bertuah, malah ia merupakan antara nombor pilihannya.

“Semua nombor yang sama memang susah dapat dan menjadi rebutan ramai pengumpul wang. Ini yang kita namakan nombor ‘solid’.

“Saya ada banyak koleksi nombor ‘solid’. Saya kumpul nombor siri satu, tiga, tujuh, lapan dan sembilan. Nombor lapan ini macam Huat Ong (kemakmuran dan tuah) bagi orang Cina,” ujarnya sambil menambah keluarganya mengusahakan bisnes pakaian dan mempunyai kilang sendiri.

Baru-baru ini, Ah Kai menerima gambar wang kertas RM1 dengan nombor siri lapan menerusi WhatsApp daripada seorang pemuda sebelum mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur.

“Saya pandu kereta dari Pulau Pinang untuk berjumpa dengan dia, dan jumpa beberapa pelanggan pada hari tersebut. Selepas itu, saya balik semula ke Pulau Pinang,” katanya.

Antara wang kertas yang menjadi rebutan pengumpul wang lama.

Bagi pemuda ini, dia menganggap satu kepuasan setiap kali melakukan urus niaga dan memperoleh wang kertas lama yang menjadi pilihannya.

Setakat ini, Ah Kai mempunyai koleksi hampir 500 keping wang kertas Malaysia dan Malaya, termasuk beberapa negara lain seperti Singapura dan China.

“Saya jual juga (wang lama) tapi kepada ahli grup saja yang mempunyai hobi ini, kadang-kadang kita tukar… tukar jika saya ada lebih dan dapatkan yang belum ada.

“Memang sangat gembira apabila dapat barang yang disukai dengan harga mampu milik,” katanya lagi.