Lelaki kemurungan rugi RM30,000, duit simpanan berteraburan atas jalan raya
Seorang pemuda mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kampung Lak Lok, Jertih pagi semalam.
Menurut laporan BERNAMA, difahamkan Wan Ibrahim Wan Leh, 24, terlupa telah meletakkan beg kain berisi wang tunai tersebut atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank bagi melakukan simpanan.
Ibu Wan Ibrahim iaitu Che Safiah Abdullah, 63, berkata, anaknya itu kini mengalami kemurungan dengan berkurung di dalam bilik apatah lagi wang itu dikumpul selama empat tahun hasil bekerja sebagai tukang gunting.
“Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk membeli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya dan dia mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya,” kata Che Safiah.
Bercerita lanjut, dia berkata anaknya yang masih bujang itu ingin membersihkan bahagian dalam kereta terlebih dahulu sehingga terlupa bahawa beg berisi wang ada di atas but kereta.
Lebih menyedihkan apabila anaknya hanya menyedari perkara itu sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok.
“Setiba di situ beberapa orang awam yang membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya, menyerahkan balik wang kepada anak saya berjumlah sekitar RM30,000.
“Namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil wang itu.
“Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya,” ujarnya.
Che Safiah berkata, kejadian terbabit turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai berhampiran.
Sekeping gambar dan CCTV dipercayai berhubung kejadian berkenaan tular dalam group Info Berita Semasa yang dimuat naik seorang pengguna laman Facebook.