Lelaki murung, baru nak makan terus tak jadi makan

Lelaki murung, baru nak makan terus tak jadi makan

 

Siapa pernah mendengar peribahasa ‘nasi sudah menjadi bubur’? Secara literalnya, ini bermaksud nasi yang dimasak dengan air berlebihan akan menjadi bubur dan tidak boleh diubah semula menjadi nasi biasa.

Bagi makna figuratifnya pula, peribahasa ini merujuk kepada penyesalan individu di atas tindakannya yang tidak dapat ditarik semula.

Namun, kisah yang ingin kami kongsi pada kali ini bukanlah berkisarkan tindakan atau penyesalan sesiapa tetapi melibatkan satu peristiwa lucu yang tidak dapat diubah walau dengan apa cara sekali pun.

Kisah ini berkisarkan situasi lucu yang dihadapi oleh seorang pemuda berasal dari Indonesia, Dadad Sesa. Dia berkongsi kisah tersebut menerusi satu video berdurasi 10 saat yang dimuat naik di Twitternya.

Dalam video tersebut, Daud dilihat ingin menjamah bubur kacang yang diperolehinya dalam bungkusan plastik.

Namun begitu, niatnya (mungkin) terpaksa dibatalkan apabila kacang-kacang hijau yang terdapat dalam bubur tersebut sudah bercambah menjadi taugeh.

Warganet nyata terhibur melihat video berkenaan memandangkan tiada siapa pun menjangkakan kacang hijau berkenaan boleh bertukar menjadi taugeh.

Walau bagaimanapun, ada juga warganet yang merasakan insiden itu mungkin lakonan semata-mata. Kata mereka, taugeh berkenaan dilihat cukup segar dan kacang hijau yang sudah direbus menjadi bubur akan menjadi lembik serta mustahil untuk tumbuh menjadi taugeh.