Lelaki naik angin kerana gagal mengorat isteri orang

Lelaki naik angin kerana gagal mengorat isteri orang

 

Seorang lelaki menyerang enam individu termasuk seorang  wanita kerana menolak permintaannya untuk mendapatkan akaun aplikasi mesej  Line milik mangsa, lapor laman berita Thaiger semalam.

Menurut salah seorang mangsa yang merupakan suami kepada wanita berkenaan, Adisak Wiatesing, 24, dia membuat laporan polis selepas mereka diserang suspek, Pae pada 10 April lalu.

Adisak berkata, dia ketika itu pergi ke sebuah bar bersama isterinya, Sukanya Thaweechokkamthorn, 27 dan empat rakan mereka.

Ketika pergi ke tandas,  Sukanya  menanti suaminya di bahagian hadapan bar  itu secara  berseorangan apabila dia didatangi oleh Pae.

Suspek meminta akaun Line wanita itu namun tidak dilayan oleh Sukanya.

Selepas keluar dari tandas, Adisak memberitahu suspek bahawa dia ialah suami kepada Sukanya sebelum mereka kembali ke meja makan.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek mengekori mereka dan memintas kenderaan yang dinaiki pasangan itu.

Suspek kemudian menyerang Adisak dan rakan-rakannya sejurus mereka keluar dari kereta.

“Saya tidak mengalami kecederaan teruk, namun amat marah kerana suspek menendang muka isteri saya.

“Dia melakukan perkara itu kepada wanita. Saya tidak akan berhenti menuntut keadilan bagi pihak isteri saya,” kata Adisak.

Menurutnya, suspek mengunjungi bar tersebut bersama teman wanitanya, justeru dia tidak memahami mengapa lelaki tersebut cuba mengganggu isteri orang.

Menurut pegawai polis, suspek telah dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis pada 18 April ini.