Lelaki sanggup jerut leher isteri hingga pengsan kerana tak dapat RM100

Lelaki sanggup jerut leher isteri hingga pengsan kerana tak dapat RM100

 

Seorang lelaki sanggup menjerut leher dan menutup mulut isterinya sehingga tidak sedarkan diri gara-gara berang kerana hanya diberikan RM100 di sebuah rumah di Jalan Kim Kee, di sini malam semalam.

Dalam kejadian pukul 12.33 tengah malam itu, lelaki berusia 33 tahun dipercayai bertindak di luar kawalan ekoran isterinya tidak memberikan wang yang mencukupi.

Suspek yang tidak berpuas hati dan meminta lebih daripada jumlah itu, tetapi mangsa enggan menunaikan permintaan suspek yang juga seorang penganggur.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ekoran permintaan tidak ditunaikan, suspek menjerut leher mangsa dengan tali.

“Suspek juga bertindak menutup mulut mangsa sehingga tidak sedarkan diri. Suspek kemudiannya menampar muka mangsa dan melarikan diri akibat panik selepas mangsa tersedar.

“Mangsa kemudiannya bergegas ke balai polis untuk membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Muar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, bertindak atas laporan itu, suspek berjaya diberkas dan kini ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Ujian air kencing suspek adalah negatif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan. Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun dalam proses perceraian.