Lelaki Siam ditemui mati di restoran

Lelaki Siam ditemui mati di restoran

 

Seorang lelaki berketurunan Siam ditemukan mati di sebuah restoran di Kota Bharu, Kelantan.

Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata pihaknya telah dimaklumkan berhubung penemuan mayat terbabit yang berusia 31 tahun pada jam 7.45 malam selepas menerima panggilan daripada orang awam.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah rumah kedai dua tingkat dan mempunyai tiga bilik tidur.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan hanya terdapat kesan jerutan pada leher,” katanya.

Tambah Mohd Rosdi, tiada barangan milik mangsa dilaporkan hilang.

Sementara itu, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) bagi proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan Asphyxia iaitu kekurangan oksigen dalam badan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian dan siasatan lanjut masih diteruskan,” maklumnya menerusi Sinar Harian.