Lelaki suka ganggu jurugambar wanita selama 8 tahun ditahan di wad Neurologi
Penghendap yang didakwa sering mengganggu secara seksual seorang jurufoto wanita selama bertahun-tahun di media sosial dikesan sedang dirawat di bawah Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, mengesahkan laporan polis yang sudah dibuat oleh jurugambar wanita itu sejak 2018.
“Polis menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada Khamis 20 Julai, berhubung kes pemilik akaun Instagram yang sering mengganggu pengadu seperti yang tular di media sosial ketika ini.
“Dia sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan mangsa dan memberi komen-komen cinta.
“Selain menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan pengadu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Mohamad Fakhrudin, bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis sudah membuat permohonan kepada SKMM untuk menyekat akaun media sosial milik Orang Yang Disyaki (OYDS) bagi menghentikan perbuatan dan perlakuan terhadap pengadu.
“Polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan daripada pihak hospital dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Menurut lapioran BH, OYDS berusia 37 tahun dan berasal dari Shah Alam itu, dihantar sendiri oleh keluarganya bagi mendapatkan rawatan di HKL pada 17 Julai.