Lelaki terkedu, ikan Arowana RM4k kena goreng

Lelaki terkedu, ikan Arowana RM4k kena goreng

 

Seorang warga Tanjungbalai, Sumatera Utara yang bernama Nizam Nabahan hanya mampu bersabar selepas anak-anaknya bertindak menggoreng ikan Arowana peliharaannya, lapor Kompas.com.

Ikan Arowana yang digoreng oleh anaknya adalah sejenis spesis ‘Super Red Short’ yang berharga 15 juta rupiah (RM 4,286).

Kisah ini bermula apabila Nizam atau lebih dikenali sebagai Bang Nor mendapati ikan Arowana kegemarannya tiada dalam akuarium koleksinya.

Menyangka bahawa ikan Arowana tersebut melompat keluar dari akuarium, dia segera mencari keberadaan ikan berkenaan.

“Saya di tingkat atas, sedang memasang siling. Ketika saya turun ke bawah, saya lihat akuarium itu sudah kosong. Saya juga memberitahu isteri bahawa ikan Arowana itu mungkin melompat keluar dan tidak diketahui ke mana ia melompat,” kata Nizam pada Jumaat lalu.

Tidak lama kemudian, dua anak Nizam yang masih bersekolah rendah datang dengan membawa sepinggan ikan. Alangkah terkejutnya Nizam sebaik mendapati bahawa ikan di atas pinggan tersebut merupakan ikan Arowana yang hilang tadi.

“Saya nak marah, tapi saya berfikir. Semalamnya, mereka makan ikan bakar Arowana yang sudah mati, mereka kata mahu makan ikan Arowana itu lagi. Jadi mungkin dia terfikir untuk menangkap lalu memasaknya,” katanya lagi.

Nizam memberitahu isteri dan anak-anaknya bahawa ikan itu berharga 5 juta rupiah agar keluarganya tidak merasa bersalah kerana sudah menggoreng ikan tersebut.

“Padahalnya ada dua ekor lagi ikan di situ, tetapi kenapa mereka tidak mengambilnya,” kata Nizam.

“Mungkin mereka berniat baik ambil yang kecil sahaja. Tapi yang kecil itulah harga yang paling mahal,” kata Nizam lagi sambil ketawa.

Nizam mengabadikan proses memasak ikan Arowana tersebut di laman sosial Facebook miliknya. Isterinya dilihat membersihkan ikan itu dengan cekap serta menggoreng ikan Arowana itu hingga garing lalu memakannya bersama kicap.

Ini kali kedua Nizam masak ikan Arowana Super Red. Sebelum ini, dia dan rakan sekerjanya bernama Bagong pernah memasak ikan Arowana yang sudah tidak bernyawa.