Lelong kereta kumpul dana Palestin, tindakan terdesak Sanusi raih publisiti murahan

Lelong kereta kumpul dana Palestin, tindakan terdesak Sanusi raih publisiti murahan

Demi membantu penduduk Palestin yang sedang diserang rejim Zionis ketika ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sanggup menjual sebuah kereta Volvo XC60 3.0 cc AWD T6 (2010) untuk disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan PASRelief.

Muhammad Sanusi menerusi hantarannya di Facebook hari ini berkata, kereta itu ditawarkan dengan harga bidaan bermula RM55,000 selepas membeli kereta itu dengan harga RM60,000 pada 2018.

“Kereta ini saja yang sudah selesai hutang bank. Sayang sangat kepada kereta ini tapi sayang lagi kepada saudara kita di Palestin.

“Sejak beli, saya buat ‘major’ dan ‘minor’ pembaikan, ganti alat ganti yang kurang elok dengan yang baru original, sedikit demi sedikit sampai rasa macam bawa kereta baru, tapi tidaklah 100 peratus macam baru.

“Pendek kata, kondisi kereta ini terbaik. Tak ada apa-apa yang perlu diperbaiki lagi kalau bertukar tangan dalam aspek enjin, gearbox, suspensi, melainkan ‘absober boot’ belakang yang lembut sikit. Saya belum sempat pergi baiki,” katanya.

Semalam media melaporkan, jumlah kematian akibat konflik Israel-Palestin sejak empat hari lalu, terus meningkat kepada lebih 100 orang dan rejim Zionis dikesan menambah operasi ketenteraan termasuk ke sempadan Semenanjung Gaza.

Sejak serangan yang berlaku akhir Ramadan lalu, sekurang-kurangnya 103 orang maut termasuklah 27 kanak-kanak manakala 580 lagi cedera.

Muhammad Sanusi berkata mereka yang berminat untuk melakukan bidaan kereta itu boleh terus menghubunginya menerusi akaun Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, bidaan itu akan dibuka selama tiga hari dan pembida tertinggi akan dihubungi sebaik saja bidaan ditutup pada 3petang, 18 Mei ini.

“Pembida yang serius boleh menyertai bidaan ini, yang tak serius tak payah kacau daun.

“Mereka boleh bayar terus ke Akaun Maybank Tabung Kemanusiaan PASRelief (564070614481 atau 5640 7061 2333),” katanya. – HM