Leona dedah pernah dapat RM20K sebulan jadi influencer, patutlah budak sekarang nak jadi pempengaruh
Seperti yang dijangka ‘kerjaya’ sebagai seorang pempengaruh nampaknya benar-benar memberi pendapatan yang lumayan.
Tidak hairanlah semakin ramai anak muda berlumba ingin menjadi tumpuan di media sosial.
Seperti perkongsian anak kepada pelakon Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona, dia mendedahkan pernah menjana pendapatan sehingga RM20,000 sebulan sebagai pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan.
Leona yang kini sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) berkata, seseorang pempengaruh boleh meraih pendapatan tinggi namun bergantung kepada tahap kerelevanan masing-masing.
“Ketika saya lakukan ia sepenuh masa, saya boleh dapat sekurang-kurang RM20,000 hingga ke RM30,000 sebulan,” katanya sewaktu diwawancara dalam Apa Cerita Podcast seperti dilapor Malaysiakini.
Untuk rekod, Leona memiliki sejuta pengikut di TikTok dan 500,000 pengikut di Instagram dan lebih 100,000 pelanggan (subscribers) di YouTube.
Gadis berusia 22 tahun itu bagaimanapun menarik balik kenyataannya dengan membetulkan anggaran jumlah sebenar yang diperolehi.
Dia juga sempat bergurau agar agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak tiba-tiba ‘mencarinya’ hanya kerana pendapatan yang pernah diperolehi sebelum ini.
“OK, mungkin bukanlah RM30,000 tapi RM10,000 ke RM20,000, tapi (LHDN) jangan datang cari saya dan kenakan cukai pula sebab saya sedang sambung pengajian di UK dan dah tidak raih sebanyak itu lagi,” katanya secara berseloroh.