Lesen memandu kini boleh renew sampai 10 tahun, kata menteri pengangkutan

Lesen memandu kini boleh renew sampai 10 tahun, kata menteri pengangkutan

 

Lesen memandu kini boleh dibaharui untuk tempoh sehingga 10 tahun, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, lesen yang boleh dibaharui untuk tempoh 10 tahun mestilah mempunyai tempoh sah laku tidak lebih setahun.

Pembaharuan lesen 10 tahun itu juga akan dikenakan fi istimewa, iaitu percuma untuk tahun ke-10, tambahnya.

“Mana-mana pemegang lesen yang memperbaharui lesen untuk tempoh 10 tahun sekaligus akan dikenakan bayaran untuk tempoh 9 tahun sahaja,” katanya dalam kenyataan.

“Orang ramai akan dibenarkan memperbaharui lesen antara satu sehingga 10 tahun, namun, hanya pembaharuan 10 tahun sekaligus sahaja akan menikmati keistimewaan fi percuma untuk tahun ke-10.”

Menurut Loke, inisiatif ini hanya sah untuk warganegara Malaysia.

Sebelum ini, lesen memandu boleh dibaharui setiap tahun atau maksimum lima tahun.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, pemegang lesen memandu Malaysia yang telah tamat tempoh kini dibenarkan membaharui lesen tanpa perlu menjalani ujian semula.

Katanya, Kementerian Pengangkutan memberikan kebenaran khas itu dengan mengambil kira perintah kawalan pergerakan yang dikenakan semasa wabak Covid-19 melanda, serta kekangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat pulang untuk membaharui lesen.

“Kebenaran khas ini hanya terhad kepada lesen yang mana tempoh sah laku telah tamat mulai 1 Jan 2018 dan ke hadapan sahaja.

“Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuatkuasa sehingga 31 Dis 2023, (dan) peraturan sedia ada akan berkuatkuasa semula pada 1 Januari 2024,” kata Loke.