Letak jawatan Ketua Penerangan Pemuda PN, setpol Azmin dijangka sertai Parti Bangsa Malaysia

Letak jawatan Ketua Penerangan Pemuda PN, setpol Azmin dijangka sertai Parti Bangsa Malaysia

ADUN Gombak Setia Hilman Idham menjelaskan beliau tidak berada dalam senarai Jawatankuasa Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang baharu kerana mahu memfokuskan kepada gerak kerja di Selangor bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari berkaitan hasratnya untuk dikeluarkan daripada senarai berkenaan.

“Ya, ada tawaran untuk saya kekal dalam barisan kepimpinan. Saya hargai. Namun saya putuskan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh PN Selangor, termasuk Pemuda PN Selangor,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Hilman sebelum ini merupakan Ketua Penerangan Pemuda PN sebelum jawatankuasa baharu itu dibentuk.

Buat masa ini beliau masih menjawat jawatan Setiausaha PN Selangor.

Hilman berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai senarai pembentukan Jawatankuasa Pemuda PN yang diumumkan oleh Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli dalam kenyataan semalam.

Dalam senarai berkenaan, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilantik sebagai salah seorang daripada Timbalan Ketua Pemuda PN.

Jawatan Ketua Penerangan Pemuda PN yang disandang oleh Hilman sebelum ini digantikan dengan Khairul Nadzir Helmi Azhar daripada PAS.

Mengulas senarai jawatankuasa terbaru itu, Hilman yang juga setiausaha politik kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri yakin akan kewibawaan kepimpinan yang diketuai oleh Ahmad Fadhli dalam mendapatkan sokongan rakyat khususnya anak muda kepada PN.

Sementara itu, dalam berdepan PRU15, Hilman berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi PN bagi merangka pelan strategik untuk dimainkan oleh kepimpinan Pemuda di setiap peringkat.

“Ini penting untuk merangka strategi yang mampan dalam usaha meraih dukungan anak muda khususnya selepas pelaksanaan Undi18,” katanya.