Lim dakwa Pru-15 akan diadakan tahun depan
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan cuba mendapatkan mandat baru pada tahun depan jika mereka gagal mendapatkan pengisytiharan darurat dan melaksanakan “pemerintahan melalui ketakutan”, dakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Justeru, Lim berkata PH perlu bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada masa itu.
“Suka atau tidak, kita perlu bersedia kerana jelas kerajaan berhasrat mengadakan pilihan raya tahun depan.
“Jika mereka gagal dapatkan pengisytiharan darurat yang dimahukan, untuk memerintah menggunakan ketakutan, saya fikir mereka melihat (untuk mengadakan) pilihan raya tahun depan,” katanya dalam program “Breakfast Grille” di stesen radio BFM hari ini.
Lim berkata demikian ketika ditanya sama ada PH bersedia, atau sedang membuat persediaan, untuk menghadapi pilihan raya umum.
Pada 1 Nov lalu, Lim menggesa Muhyiddin untuk akur kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong yang menolak permohonan darurat oleh kerajaan. Lim ketika itu mendakwa Muhyiddin seperti akan terus berusaha membuat permohonan itu pada masa akan datang.
Selepas keputusan Agong itu, Muhyiddin dalam perutusannya menjelaskan hanya darurat dapat menangguhkan pelaksanaan PRK Batu Sapi pada Disember ini dan pilihan raya negeri Sarawak yang dijadual tahun depan.
Walaupun Muhyiddin mengaitkan permohonan darurat itu dengan usaha mengekang gelombang ketiga penularan Covid-19, ada pihak melihatnya sebagai langkah melawan usaha Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan, serta ancaman Umno untuk menarik balik sokongan terhadap PN.
Berhubung Belanjawan 2021, Lim berkata kerajaan hanya membentangkan belanjawan “biasa” di saat negara perlukan belanjawan luar biasa untuk berdepan kesan Covid-19.
Dia menggesa kerajaan mengembangkan peruntukan RM322.5 bilion dalam belanjawan itu dengan menambah empat peratus lagi defisit.
Walaupun mengakui cadangan itu akan menyebabkan rating Malaysia oleh agensi penarafan menurun – ekoran kedudukan fiskal yang merosot, dia berkata lebih penting untuk meletakkan wang ke dalam poket sejumlah 33 juta rakyat Malaysia yang terkesan dengan wabak Covid-19.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov lalu mengunjurkan defisit sebanyak 5.4 peratus.
Sumber: Malaysiakini