Lim Guan Eng dakwa Idris ‘koyak’ selepas disenaraikan menteri kabinet yang tidak cekap oleh Dr. Agus

Lim Guan Eng dakwa Idris ‘koyak’ selepas disenaraikan menteri kabinet yang tidak cekap oleh Dr. Agus

Isu perkauman yang dikaitkan Idris Ahmad dengan kritikan bahawa beliau seorang menteri yang tidak cekap adalah tidak wajar, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Memetik laporan FMT, Lim menegaskan bahawa prestasi Idris yang buruk pertama kali dicadangkan oleh ahli akademik Agus Yusoff, yang melabel semua menteri PAS sebagai tidak cekap. Beliau hanya menyokong dakwaan Agus, katanya.

Menteri hal ehwal agama itu baru-baru ini menuduh Lim “sengaja memercikkan api perkauman” dan melebarkan jurang antara orang Islam dengan bukan Islam.

Perkara ini tercetus selepas Lim berkata, Idris “mendahului senarai menteri PAS yang tidak cekap”, mendakwa menteri itu tidak membawa nilai kepada tugasnya “selain mengancam perpaduan nasional dan mengganggu keharmonian agama”.

“Adakah Idris cuba mengalih perhatian daripada ketidakcekapannya dengan menggunakan perkauman dan agama sebagai momok, mempergunakan kebimbangan orang ramai untuk menyembunyikan ketidakcekapan?

“Saya tertanya-tanya mengapa beliau tidak kata apa-apa tentang Agus. Sebagai menteri, (Idris) tertakluk kepada kritikan,” katanya kepada FMT.

Lim berkata demikian sebagai respons kepada laporan FMT pada Isnin, yang memetik Agus, daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, sebagai berkata Umno tidak sepatutnya bekerjasama dengan PAS kerana parti Islam itu sudah mula kehilangan populariti, walaupun dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Agus berkata, orang ramai dapat melihat “bagaimana PAS menunggang agama, mentadbir negeri tertentu dengan buruk, dan mempunyai menteri yang tidak cekap”.

Ahli jawatankuasa pusat DAP, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan turut membidas Idris atas reaksinya terhadap kritikan itu.

Syefura berkata, seruan Idris kepada umat Islam supaya tidak menghadiri pesta Bon Odori menjadi bukti penilaian buruk Agus terhadap menteri itu.

“Bagi saya, ketidakcekapan seseorang itu tiada kaitan dengan agama atau kaum. Ia adalah ciri individu,” katanya.

Syahredzan berkata, langkah Idris menggunakan agama untuk mewajarkan tindakannya menunjukkan beliau tidak faham kritikan terhadapnya.

Idris dikritik minggu lepas atas kenyataannya mengenai seorang pelakon remaja yang berkongsi bahawa dia dicabul bapanya semasa kecil.

Menteri itu dipetik Berita Harian sebagai berkata, pelakon berusia 15 tahun itu sewajarnya menutup aib sendiri dan tidak mendedahkan perkara itu pada orang ramai, sebaliknya membuat laporan polis bagi mendapat pembelaan undang-undang.

Menyebut bahawa kritikan terhadap Idris datang dari semua pihak, Syahredzan berkata, perkara ini bukan suatu isu agama, “tetapi mengenai perempuan yang dianiaya dan tampil mendedahkannya”.

Kisah pelakon remaja itu sepatutnya menjadi contoh keberanian wanita, namun dengan sekali gus, menteri itu menyangkalnya, tambahnya.