Lipas melekat luar tingkap kapal terbang curi tumpuan ramai

Lipas melekat luar tingkap kapal terbang curi tumpuan ramai

 

Seekor lipas  dipercayai ‘melekat’ pada cermin tingkap sebuah kapal terbang baru- baru ini lapor Dim Sum Daily.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh salah seorang penumpang  ketika menaiki pesawat itu. Adegan tak diduga itu nyata mencuit hati ramai warganet.

Menurut laporan media tempatan, wanita yang ingin disapa sebagai Guo berkata ketika itu, dia menaiki sebuah pesawat penerbangan domestik dari Xishuangbanna, Yunnan, ke Ningbo pada Rabu lalu.

Sewaktu menoleh ke arah tingkap kapal terbang tersebut, dia ternampak seekor lipas berada di luar tingkap.

Menerusi rakaman video yang diambilnya menunjukkan haiwan perosak itu melekat kuat pada tingkap pesawat sekitar tiga jam.

“Awalnya, saya juga terkejut lihat seekor lipas berada di luar tingkap. Saya tak sangka dapat tengoknya dari dalam kapal terbang. Saya rasa ia satu benda yang lawak dan saya tak lepaskan pandangan darinya sepanjang penerbangan itu,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Guo, lipas tersebut mengejutkannya kerana mampu bertahan dalam tempoh yang sangat lama bahkan telah terbang melebihi 3,000 kilometer.

“Saya jangkakan lipas itu akan hilang dalam masa dua minit. Jadi, saya tak maklumkan perkara itu pada pramugari,” katanya.

Reaksi Netizen

Kejadian itu mengundang pelbagai komen mencuit hati daripada pengguna media sosial terhadap kehadiran lipas di luar tingkap tempat duduk penumpang itu.

Rata-rata penumpang berseloroh tentang “penumpang tak diundang” itu. Antara komen yang diterima termasuklah;

“Lipas itu beli tiket ke tak?”  komen salah seorang warganet.

“Ini salah satu inisatif naik kapal terbang secara percuma,” tulis salah seorang pengguna lagi.

Pun begitu, sebahagian netizen juga mempersoalkan kebimbangan mereka terhadap tahap kebersihan dan bagaimana serangga perosak itu berada di situ.

Sementara itu, pegawai syarikat penerbangan berkenaan menyatakan pihaknya memandang serius perkara itu susulan isu kebimbangan kebersihan dan keselamatan penerbangan.

“Kami mengesahkan tingkap berkenaan berada dalam keadaan selamat dan kukuh serta tidak menimbulkan sebarang ancaman keselamatan ketika penerbangan.

“Selain itu, prosedur pembasmian kuman juga tetap akan dijalankan di kabin pesawat untuk memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih,” maklum syarikat itu.