Liwat tiga pelajarnya, pengasas pusat tahfiz beristeri dua dan adik didakwa

Liwat tiga pelajarnya, pengasas pusat tahfiz beristeri dua dan adik didakwa

Pengasas sebuah pusat tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya, sejak tahun lalu.

Memetik Kosmo, tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di dalam bilik di rumah guru dalam daerah Melaka Tengah pada 20 Julai 2022 serta Mac 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.

Bagi dua pertuduhan lagi, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama, di lokasi sama pada Mac 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

Peguam Fahmy Sulaiman yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung dua isteri dan enam anak berusia 1 tahun setengah sehingga 13 tahun.

Selepas mendengar rayuan kedua belah, Darmafikri memberikan jaminan sebanyak RM20,000 bagi dua pertuduhan dihadapannya, bagaimanapun Mohd. Sabri tidak membenarkan jaminan bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Jun ini.

Kosmo! pada 12 Mei lalu melaporkan polis menahan pengasas dan warden sebuah pusat tahfiz dekat sini pada pukul 1 dan 1.30 petang selepas disyaki melakukan penderaan seksual dan fizikal terhadap enam pelajar mereka.

Kejadian itu terbongkar selepas kesemua mangsa yang berusia 13 sehingga 15 tahun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga pada pukul antara 6.29 petang sehingga 9.13 malam, 10 Mei.

Difahamkan, pengasas terbabit yang berusia 40 tahun sebelum ini pernah didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas kesalahan seks luar tabii pada 2019 bagaimanapun, adiknya 36 tahun tidak mempunyai rekod lampau.

Difaham adik tertuduh masih direman pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.