Liyana Marzuki tempelak kenyataan Lim Kit Siang, jangan provokasi PM bukan Melayu

Liyana Marzuki tempelak kenyataan Lim Kit Siang, jangan provokasi PM bukan Melayu

 

Sejujurnya, saya kecut perut dengan kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang yang dibuat pada 2 Disember lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, satu hari beliau impikan ia akan terjadi’.

Saya tidak faham keperluan mengeluarkan kenyataan penuh kontroversi ini sekarang. Pada masa ini, Pakatan Harapan (PH) menerima 96 peratus undi orang Cina dan 90 peratus undi orang India. Apa keperluan menimbulkan provokasi terhadap kaum majoriti? Bila masa kita berhadapan isu fanatik agama atau pelampau agama?

Jika kita mengimbas sejarah dunia, perang saudara berlaku apabila penduduk majoriti terasa terancam. Mereka boleh menerima sekiranya golongan minoriti menguasai ekonomi, tetapi jika hendak memegang kuasa politik hal ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati.

Kisah minoriti cuba kuasai dunia

Satu ketika dahulu di Yugoslavia, kaum Serb memulakan perang saudara bila kuasa politik mereka terancam. Di Iraq pula selepas Saddam Hussain meninggal dunia, golongan majoriti Sunni memulakan perang bila minoriti cuba menguasai dunia politik.

Amerika Syarikat (AS) mengambil masa lebih 230 tahun untuk menerima presiden daripada golongan minoriti. Di United Kingdom (UK) ratusan tahun masa diambil untuk mengangkat perdana menteri daripada golongan bukan pribumi. Malaysia pula baru merdeka 65 tahun, namun sudah ada ahli politik yang berfikir kita harus menerima semua ini.

Saya menentang pemikiran ‘politikus dinosaur’ ini, mereka berasakan masih berada pada zaman pramerdeka, walhal kita kini sudah berada di milenium baharu dan banyak hal sudah berbeza.

Namun, golongan politikus ini bercakap ikut suka tanpa memikirkan implikasinya kepada social fabric, iaitu hubungan dan interaksi yang mengikat kita sebagai masyarakat. Hal ini seperti dibuat secara sengaja. Sedangkan kita sedang berusaha untuk mencapai keseimbangan dan jangan jadi pelampau dalam berpolitik, namun ada pula yang menambah bibit provokasi.

Sudah-sudahlah, jangan ditambah minyak kepada api yang menyala, jika salah langkah, boleh ranap negara.

Penulis adalah Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pemerhati Politik