Lonjakan FDI dilulus, Azmin yakinkan Ismail tiada keperluan melantik penasihat ekonomi

Lonjakan FDI dilulus, Azmin yakinkan Ismail tiada keperluan melantik penasihat ekonomi

Lonjakan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan negara bagi separuh pertama 2021 dan menokok sebanyak 223.1% tahun ke tahun memaparkan isyarat keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan negara yang stabil dan kondusif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi kukuh dan mengagumkan itu adalah petanda baik kepada laluan negara ke arah pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan.

“Prestasi luar biasa ini turut memaparkan strategi Malaysia untuk menempatkan negara sebagai destinasi pelaburan menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, khususnya bagi operasi pembuatan, menunjukkan hasil yang positif,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dalam tempoh ini FDI memacu prestasi kukuh dan bertenaga sektor pembuatan, mencatatkan RM58.2 bilion pelaburan diluluskan. Sementara itu sumber domestik menyumbang lebihan pelaburan diluluskan dalam sektor ini, iaitu RM8.7 bilion.

Dari segi jumlah pelaburan diluluskan, negara mencatatkan RM107.5 bilion FDI dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, meraih lonjakan besar berjumlah 69.8% berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata, pelaburan itu tercapai di tengah-tengah landskap ekonomi global yang amat mencabar melibatkan 2,111 projek dan dijangka menjana 44,994 peluang pekerjaan di negara ini.

“Dengan memanfaatkan kemajuan yang positif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), penambahbaikan keadaan kesihatan awam secara keseluruhan dan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat, Malaysia terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi disokong keupayaan dan kebolehan kita dalam menyediakan pekerja berkemahiran tinggi dan bersedia menggunakan teknologi maju untuk nilai tambah industri,” katanya.

Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) beliau berkata, negara melaksanakan lebih banyak projek berintensif modal secara konsisten selain projek yang menyokong agenda pembangunan negara, selaras dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Azmin berkata, ini dicerminkan oleh peningkatan jumlah projek berintensif modal yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurutnya, selain itu wujud keutamaan untuk mencipta peluang pekerjaan pelbagai kemahiran kepada rakyat.

Dalam hal ini Azmin berkata, 367 projek pembuatan bernilai RM66.9 bilion yang diluluskan dalam separuh pertama 2021 akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai jawatan, sekali gus memacu laluan ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Ini merangkumi 1,367 jawatan dalam pengurusan dan 4,031 bagi profesional teknikal seperti jurutera dalam bidang elektrik dan elektronik, mekanik, kimia dan bidang-bidang lain, mencerminkan peralihan rantaian nilai yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan.

“Projek pembuatan diluluskan turut memerlukan 4,144 pekerja mahir,” katanya.

Sementara itu, pelaburan domestik menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45 bilion atau 41.9% daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan.

Dari sudut strategik NIA Azmin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan terus melaksanakan pelaburan berkualiti tinggi pada masa akan datang untuk mewujudkan nilai kepada negara dan rakyat.

Katanya, langkah itu bukan sahaja untuk mengekalkan pekerjaan, malah mewujudkan pekerjaan bernilai tambah tinggi.

“Kami komited ke arah menempatkan Malaysia sebagai rakan unggul bagi pelabur di rantau ini, menambah baik ekonomi kita yang kompleks dan merangsang pertumbuhan jangka panjang di Malaysia menerusi aliran pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu dan kompleks,” katanya.

Sumber – FMT