Lebih separuh frontliners KKM alami tekanan perasaan melampau

Lebih separuh frontliners KKM alami tekanan perasaan melampau

Daripada 893 petugas kesihatan di Malaysia, 53.8 peratus daripadanya mengalami tekanan melampau (burnout) disebabkan hal peribadi.

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memberitahu, jumlah paling tinggi direkodkan ialah pegawai farmasi dan petugas kesihatan peringkat daerah.

Katanya, kajian itu dijalankan oleh Roslan N.S. et. al. (2021) terhadap Prevalen dan Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Burnout dalam Kalangan Petugas Barisan Hadapan di Malaysia Semasa Pandemik Covid-19.

Sebanyak 39.1 peratus pula mengalami tekanan melampau disebabkan pekerjaan yang membabitkan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) dan petugas makmal.

Selain itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, 17.4 peratus lagi membabitkan tekanan melampau berkaitan pesakit iaitu dalam kalangan paramedik dan petugas kesihatan di hospital swasta.

“Kebanyakan merasakan bahawa mereka tidak dapat sokongan psikososial yang mencukupi di tempat kerja dan antara faktor yang mencetuskan hal ini dalam kalangan petugas kesihatan adalah disebabkan bebanan tugas yang tinggi dan ketidakpastian tempoh pandemik yang panjang.

“Turut menyebabkan tekanan melampau ini juga adalah pertukaran serta proses adaptasi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang pelbagai; rancangan kerjaya terganggu serta kesulitan mengimbangkan keluarga dan kerjaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sumber – MalaysiaGazette