“Maaf tak dapat keluarkan lagu ini, wife nak bersalin” – Aliff Syukri tangguh pelancaran MV lagu raya

“Maaf tak dapat keluarkan lagu ini, wife nak bersalin” – Aliff Syukri tangguh pelancaran MV lagu raya

 

“Semakin ditegur, semakin menjadi,” itu kata netizen mengenai tindakan ahli perniagaan kontroversi Aliff Syukri yang kini sedang giat mempromosikan muzik video lagu rayanya.

Walaupun menyedari dirinya dikecam hebat oleh netizen di media sosial, Aliff tetap tidak berganjak daripada keputusannya untuk meneruskan pelancaran lagunya esok.

Tetapi hasratnya itu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

“Saya mohon kemaafan kepada peminat-peminat setia saya sebab tak boleh keluarkan lagu ini. Sebenarnya saya nak lancarkan lagu ini esok, cuma (disebabkan) emergency wife saya masuk ward sebab sakit nak bersalin.

“Jadi saya mohon maaf lagu ini terpaksa saya hold dulu dan terpaksa lewatkan dan kena fokus menjaga isteri serta baby nak lahir ini. Lagu ini nanti lambat sikit release ya, korang kena sabar,” katanya menerusi hantaran di Instagram sebentar tadi.

Dalam hantaran itu, Aliff berkongsi video dirinya memakai pakaian seakan baju melayu ketat sambil menari dan menyanyi lagu rayanya itu. Video yang sama turut menunjukkan sekumpulan penari latar ala-ala lelaki lembut.

Di ruangan komen, netizen masih gigih memberi teguran terhadap ahli perniagaan berkenaan.

“Tak keluar pun tak apa Dato. Nyawa dan emosi isteri dan anak bakal lahir itu lagi penting,” kata Acik Qa.

“Aku memang report je kalau keluar video macam ni. Kepada yang tak suka tengok video lembik ni, jom kita report ramai-ramai,” kata Fly.

“Sudah-sudahlah content seperti ini. Bukan saja jijik tengok, tapi seakan memalukan agama pun ada dengan pakai kopiah tetapi pakaian ketat macam tu. Ingat-ingatlah ini bukan puasa. Orang lain beria mengejar pahala, ini… sambung la sendiri,” kata Shahrul.