Macam tak masuk akal, peniaga apam balik kekal harga sama selama 25 tahun

Macam tak masuk akal, peniaga apam balik kekal harga sama selama 25 tahun

 

Seorang peniaga tepi jalan mendedahkan bahawa dia telah mengekalkan harga yang sama bagi apam balik mini jualannya selama 25 tahun.

Mohammad Puzee Mat Ajid berkata, harga 50 sen sekeping yang ditetapkan buat kuih tradisional itu telah cukup untuk menampung segala kos.

Berkat meniaga, Puzee mampu membesarkan enam orang anak menggunakan keuntungan yang diperolehinya.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa itu, Puzee juga bersyukur dia boleh menjalankan ibadah bersedekah sambil berniaga.

Menurutnya, tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa dia akan jatuh miskin jika masih mengekalkan harga yang sama untuk bertahun-tahun.

“Niat utama saya untuk membantu mereka yang kurang bermampuan dalam keadaan ekonomi mendesak hari ini.

“Rezeki ni Allah dah tetapkan, jadi tak perlu risau yang kita akan jatuh miskin kalau kita bersedekah,” katanya yang berniaga di Pantai Remis, Perak.

Usahawan yang berusia 63 tahun itu berkata, perniagaan tersebut sebenarnya diambil alih daripada abangnya.

Sejak daripada itu, warga emas berkenaan menyediakan apam balik mini setiap hari tanpa mengenal penat lelah.

Semoga peniaga itu dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan untuk terus beramal sambil mencari pendapatan.