Macau Scam terus mengganas, doktor mangsa terbaharu

Macau Scam terus mengganas, doktor mangsa terbaharu

Seorang doktor terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM287,360 selepas ditipu ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, mangsa berusia 25 tahun dan bertugas di salah sebuah hospital di daerah ini telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini semalam.

Menurutnya, pada 6 Februari lalu, mangsa yang berada di tempat kerja telah menerima panggilan daripada nombor telefon 019-3946324 yang memperkenalkan diri sebagai pegawai daripada LHDN yang kemudiannya memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak berjumlah RM38,000.

“Talian berkenaan kemudiannya telah disambungkan ke IPK Pahang dan mangsa kemudiannya dimaklumkan terlibat dalam urusan pengubahan wang haram dan juga dadah. Mangsa telah diminta untuk melapor diri dan terus berhubung melalui WhatsApp dengan pemanggil melalui nombor telefon 014-7410051,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, pada 8 Februari lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan dan dimaklumkan akan dibantu untuk menyelesaikan semua kes tersebut dan telah memberi mangsa nombor telefon 014-7410596.

Menurutnya, pada 10 Februari, mangsa telah diminta menyerahkan semua maklumat perbankan internet kepada suspek dan suspek turut meminta mangsa memuat turun aplikasi Bank Negara melalui pautan diberi oleh suspek kononnya untuk mempermudahkan urusan mangsa.

“Suspek juga telah meminta mangsa membuat pinjaman peribadi dan mangsa telah memohon pinjaman peribadi berjumlah RM200,000.

“Pada 9 Mac lalu, mangsa telah menerima penyata bank Standard Chartered dan mendapati ada banyak transaksi pindahan wang daripada akaun mangsa berjumlah RM 94,560 kepada beberapa akaun lain seperti akaun milik Mohamad Hafizuddin Supian; akaun Nor Azleen Adiratna Andi dan akaun Chua Siew Hoon,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat semakan akaun Bank Rakyat dan mendapati berlaku transaksi berjumlah RM 192,800 ke beberapa akaun lain seperti akaun Mohamad Hafizuddin Supian (7635459909), akaun Zulhilmi Abd. Hamid (7623130589) dan akaun Nur Farhana Sharifuddin (2245476333).

“Mangsa merasa telah ditipu dan telah mengalami kerugian berjumlah lebih kurang RM 287,360. Kami harap agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan panggilan dari sindiket Macau Scam dan mengikut arahan diberikan bagi mengelak ditipu serta kehilangan wang di dalam akaun masing-masing,” katanya.

Menurut Aibee, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Utusan