Mahathir cadang wanita jadi Perdana Menteri Malaysia?

Mahathir cadang wanita jadi Perdana Menteri Malaysia?

Baru-baru ini pengasas parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini cuba menjadi antara pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) cuba mengubah naratif politik Malaysia – sekali lagi.

Apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir Mohamad boleh kita semak dan perhalusinya semula. Beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia mempunyai seorang wanita sebagai perdana menteri.

Tentu sekali boleh. Masakan tidak, Pakatan Harapan (PH) pun telah melakar sejarah politik moden Malaysia apabila melantik wanita menjadi timbalan perdana menteri.

Mungkin kalau PH masih lagi berkuasa sehingga satu atau dua penggal lagi, boleh jadi Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi perdana menteri wanita pertama di Malaysia.

Tapi bukan itu yang hendak dibincangkan hari ini. Yang galak untuk dipersoalkan ialah, mengapa Dr Mahathir memberi cadangan ini atau mengapakah beliau cuba mengolah minat rakyat Malaysia ke arah itu?

Tanpa kita sedar, Dr Mahathir sebenarnya cuba memberitahu rakyat Malaysia yang pernah mengundi PH pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu, bahawasanya Anwar Ibrahim masih belum lagi layak menjadi perdana menteri.

Bagi beliau, jika Anwar tidak digagalkan untuk menjadi perdana menteri dengan kambing hitamkan tragedi Langkah Sheraton, beliau tentunya akan mencari idea lain.

Idea membingkai wanita menjadi perdana menteri pastinya tidak akan ditolak orang. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan, parti-parti dalam PH pasti akan seronok dengan idea ini.

Jika Anwar tidak berjaya atau calon lain yang sedang diusahakan pun turut gagal, kita angkat wanita pula menjadi perdana menteri. Janji bukan Anwar!

Tidak perlu saya ulas pendapat PAS mengenai idea ini. Jika mereka terbuang dan kemudian dikutip menyertai pasukan Dr Mahathir dalam kerajaannya di kemudian hari, mereka boleh sahaja bersetuju dengan idea ini. PAS akan tetap menjadi PAS. Dalil-dalil baru pasti akan ada nanti.

Maka timbul persoalan mengapa tiba-tiba idea wanita menjadi perdana menteri mahu disumbat ke dalam mulut rakyat sedangkan PH telah bersedia mahu menabalkan Anwar sebagai calon perdana menteri?

Ini bukan kehendak parti-parti komponen PH sahaja, ini janji yang dipasarkan untuk meraih undi semasa PRU14 yang lalu. Ikrar ini dibuat dari Perlis hingga ke Johor, kemudian dari Sarawak ke Sabah.

Hari ini rakyat Malaysia perlu diingatkan semula bagaimana penyokong Anwar dan Dr Mahathir terpaksa didamaikan untuk menghadapi PRU14. Kesemua sejarah lampau antara kedua tokoh ini ditelan mentah-mentah demi rakyat kata mereka.

Janji yang mengatakan selepas Dr Mahathir memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya untuk suatu tempoh yang tidak ditentukan secara bertulis, beliau akan menyerahkannya kepada Anwar. Mengapa tidak beliau tunaikan?

Bukankah ini janji yang menjadi syarat yang dimeterai dan yang mengikat parti-parti dalam PH sebelum PRU14 yang lalu? Tidak pastilah kalau-kalau ada yang membuat janji yang lain di belakang pentas ceramah ketika itu atau mengusahakan sesuatu yang baru hari ini.

Apabila Dr Mahathir berulang kali menyebut yang beliau hanya meminta tempoh selama enam bulan sahaja untuk menjadi perdana menteri (baca: semula) dan mendakwa Anwar yang gila hendak menjadi perdana menteri itu yang menghalangnya berbuat demikian.

Rakyat keliru, siapa yang gila hendak jadi perdana menteri sebenarnya?

Ketika beliau berkuasa dan bertindak meletakkan jawatan perdana menteri tanpa perbincangan dengan mana-mana pemimpin dari parti-parti komponen PH, tidakkah rakyat Malaysia sedar masa untuk Dr Mahathir bersilat-mencatur politik Malaysia telah sampai penghujungnya.

Tak usahlah kita ungkit apa-apa kenyataan beliau di media yang berubah-ubah mengenai Anwar selepas kerajaan PH tumbang dengan langkah licik di Hotel Sheraton.

Jika semua kenyataan beliau mengenai Anwar kita bukukan, tentu kita akan dapati Dr Mahathir sebenarnya tidak pernah mempercayai Anwar walaupun sedikit.

Malah kenyataan demi kenyataan daripada Dr Mahathir ketika itu telah cukup membuktikan betapa beliau sebenarnya tidak langsung menginginkan Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri.

Janji perubahan kuasa yang diikrarkan oleh pemimpin-pemimpin semasa di pentas ceramah dalam PRU14 hanyalah sembang kosong sahaja. Janji yang dijual dalam ceramah hanyalah untuk menyedapkan cerita.

Ceramah untuk menang undi, bukan untuk tunai janji. Lalu, kita tertanya-tanya – adakah kita telah menipu rakyat dalam PRU14 yang lalu? Dan adakah kita masih membenarkan Dr Mahathir terus-menerus menipu kita sehingga hari ini? – MK


AZFAR FARUQI MOHAMAD IDRIS merupakan setiausaha politik kepada Adun Sungai Pelek Ronnie Liu Thian Kiew.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Negara Merdeka.