Mahathir dakwa PH jatuh sebab pilih Anwar sebagai PM

Mahathir dakwa PH jatuh sebab pilih Anwar sebagai PM

Sebab yang benar-benar menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) adalah pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri (PM) ketika membuat pengakuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Februari tahun lepas.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, sekiranya pada waktu itu pemimpin PH sepakat memilih namanya sebagai Perdana Menteri, segala-galanya yang terjadi sekarang tidak akan berlaku.

“Setelah pencalonan depan Yang di-Pertuan Agong gagal menentukan PM baharu, pemimpin PH termasuk Anwar datang jumpa saya dengan cadangan memilih saya sebagai PM. Saya letak syarat nama Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak disebut.

“Pada hari esok syarat saya dipersetujui. PH berjaya mendapat 114 wakil rakyat yang menyertai kumpulan baru ini. Tetapi sebelum dapat dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Muhyiddin sudah dipilih oleh Agong.

“Yang jelas ialah tidak mungkin Muhyiddin mempunyai majoriti kerana 114 dari wakil rakyat tidak bersama dengan beliau, ” katanya menerusi catatan di blognya pada Jumaat.

Namun, katanya, apabila dilantik sebagai Perdana Menteri dan beberapa penyokong kumpulan PH ditawar jadi Menteri, maka Muhyiddin pun memperoleh majoriti.

“PH yang sepatutnya cadang saya, telah cadang Anwar konon kerana ia mendapat cukup bilang disebabkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.

“Tetapi Anwar hanya dapat 92 pencalonan dari PH sahaja. Sabah dan Sarawak tolak Anwar. Saya dapat 62 pencalonan kerana PH tolak saya.

“Jika PH calon saya seperti yang saya berhak dapat, saya akan dapat 154 undi. Saya sanggup kembali sebagai Perdana Menteri walaupun Bersatu tolak saya,” ujarnya.

Menurut Dr Mahathir, veteran DAP, Lim Kit Siang Kit Siang pula tidak akan mengaku kejatuhan PH bukan kerana dirinya meletak jawatan. – AA