Mahathir kata Anwar tak kenang budi

Mahathir kata Anwar tak kenang budi

 

Dr Mahathir Mohamad membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim ekoran tindakan pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atasnya ketika ini.

Mahathir juga menganggap tindakan kerajaan itu adalah sebagai ‘balasan’ atas bantuan yang diberikannya – bersama Daim Zainuddin – semasa membantu Anwar pada 2018.

“Apabila saya menjadi perdana menteri kali kedua, sepanjang tempoh saya, dia (Anwar) dibebaskan (dari penjara).

“Kemudian dia mahu bertanding dalam pilihan raya (pilihan raya kecil di Port Dickson).

“Saya dan Daim berkempen untuknya, tetapi sekarang dia mahu menyiasat saya kerana salah laku,” katanya pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Kenyataan Mahathir itu dibuat merujuk kepada peletakan jawatan pemenang kerusi Port Dickson pada PRU 2018, Danyal Balagopal Abdullah, bagi memberi laluan kepada Anwar.

Anwar ketika itu baru dibebaskan dari penjara dan tidak mewakili mana-mana kerusi parlimen.

Dalam pertandingan tujuh penjuru itu, Anwar memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 23,560 undi.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu manakala Daim berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Sambil mengingatkan bahawa Anwar juga pernah dituduh terbabit dalam rasuah oleh bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid, kira-kira 24 tahun lalu, Mahathir berkata tiada siasatan dibuat selepas itu.

Untuk rekod Murad pernah mendakwa Anwar mempunyai aset bernilai RM3 bilion yang disimpan dalam lebih 20 akaun bank.

Sebaliknya, kata Mahathir, Daim sedang disiasat manakala Menara Ilham – yang merupakan bangunan komersial bernilai tinggi milik keluarga bekas menteri kewangan itu – telah disita.

Apa yang berlaku, dakwa Mahathir, menunjukkan bahawa sebenarnya tidak sukar untuk menyiasat seorang Tun.

Tambah Mahathir, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa di mahkamah atas 47 pertuduhan namun Peguam Negara (AG) membuat keputusan untuk menarik balik tuduhan berkenaan.

Apa yang berlaku itu, katanya, menunjukkan AG juga berdepan kesukaran untuk menyiasat orang seperti Ahmad Zahid.

Secara sinis Mahathir menganggap AG adalah seorang “superman” kerana tidak perlu memberi penjelasan mengapa sesuatu keputusan – seperti menarik balik pertuduhan – diambil.

Sedangkan, katanya, Ketua Hakim Negara sendiri perlu memberikan penjelasan atas keputusan yang dibuatnya.