Mahkamah bongkar kisah hubungan sulit antara Ahli Parlimen dan pembantunya

Mahkamah bongkar kisah hubungan sulit antara Ahli Parlimen dan pembantunya

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak kes saman malu yang difailkan R Indrani bekas pembantu Ahli Parlimen Sungai Siput S Kesavan selepas wakil rakyat PKR itu menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.

Mahkamah menetapkan kedua-dua pihak perlu menanggung sendiri kos guaman.

Ini selepas Hakim Azmah Omar menyimpulkan kedua-dua pihak dalam kes saman ini – plantif yang juga bekas bendahari PKR Sungai Siput dan defendan pemimpin PKR Perak – mempunyai hubungan sulit.

“Mahkamah mendapati plaintif (R Indrani) dan defendan (S Kesavan) mempunyai hubungan sulit.

“Ini dapat dibuktikan menerusi perbualan (mesej WhatsApp) mereka.

“Maka, mahkamah mengambil keputusan menolak kes saman fitnah ini,” katanya, seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Untuk rekod, Indrani memfailkan saman terhadap Kesavan selepas ahli parlimen itu mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaaan melakukan gangguan seksual.

Perbicaraan bermula pada Mac 2021 dan dibicara selama dua hari sebelum ditangguh pada Jun 2021.

Pada Jun, perbicaraan sekali lagi ditangguh kepada 20 September kerana Perintah Larangan Perkawalan (PKP).

Kesavan diwakili firma Armand Ali & Co, manakala pihak plaintif diwakili peguam Rueben Mathiavaranam.

Pada 17 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan Kesavan dan bekas pembantunya itu saling membuat laporan polis antara satu sama lain.

Dalam laporan polis itu, Indrani mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual anggota parlimen PKR berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Manakala, Kesavan pula membuat laporan polis mengadu tentang trauma dan gangguan jiwa terhadapnya.

Sementara itu, Indrani ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu akan membuat rayuan.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk membuat rayuan dalam masa terdekat,” katanya.