Mahkamah diberitahu Rosmah seorang isteri yang garang

Mahkamah diberitahu Rosmah seorang isteri yang garang

Datuk Rizal Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, beliau berpandangan warga perkhidmatan awam takut kepada Datin Seri Rosmah Mansor yang dilihat sebagai isteri perdana menteri yang garang dan boleh mempengaruhi perdana menteri untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Bekas pegawai khas Rosmah itu berkata beliau berpandangan sedemikian berdasarkan pengalamannya bekerja bersama warga perkhidmatan awam sejak dilantik secara kontrak pada tahun 2009.

“Dalam pandangan warga perkhidmatan awam, Datin Seri Rosmah berkebolehan untuk mempengaruhi perdana Menteri untuk memindahkan pegawai-pegawai kerajaan, yang menentang atau mengingkari permintaan beliau, ke jawatan yang kurang penting atau dalam istilah biasa dalam kalangan penjawat awam iaitu jawatan ‘peti sejuk’ atau dipindahkan jauh dari tempat mereka bermastautin.

“Selain itu, saya juga mendapati Datin Seri Rosmah mempunyai pengaruh yang besar di dalam jentera pentadbiran kerajaan apabila agensi-agensi dan pegawai-pegawai kerajaan sentiasa berasa keberatan untuk menolak kehendak dan permintaan Bahagian FLOM (First Lady of Malaysia) dan Datin Seri Rosmah.

 

“Pegawai-pegawai kerajaan sentiasa cuba untuk memuaskan dan memenangi hati Datin Seri Rosmah, segala permintaan dan kehendak Datin Seri Rosmah akan diusahakan sedaya-upaya oleh mereka sehingga berjaya,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Rizal,46, yang merupakan saksi penting pihak pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri itu yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Menurut saksi pihak pendakwaan ke-21 itu, beliau berpandangan pada ketika itu, segala fakta tersebut adalah tidak tepat dan hanya khabar angin yang disebarkan bertujuan untuk memburukkan imej serta reputasi Rosmah dalam kalangan penjawat awam.

“Sebagai pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah, saya sentiasa akan mempertahankan imej beliau kepada mereka ini,” katanya.

Beliau juga berkata sebagai seorang yang rapat dengan ketuanya, beliau juga selalu menyaksikan komunikasi Rosmah dengan suami beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan sepanjang pengalaman bersama mereka beliau mengesahkan Najib sangat menghormati pandangan isterinya.

Terdahulu, Rizal berkata pada 1 Mei 2009 sehingga Mei 2018, beliau bertugas di Bahagian FLOM yang ditubuhkan selepas Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam pada awal April 2009, dan bahagian itu yang kemudian ditukarkan namanya kepada Bahagian Khas, secara rasmi ditugaskan untuk menguruskan aktiviti-aktiviti harian rasmi dan tidak rasmi Rosmah.

 

Saksi itu berkata, sepanjang kerjayanya di Bahagian F.L.O.M, beliau mendapati agensi-agensi kerajaan sangat menghormati dan menggeruni bahagian tersebut kerana gandingan kedudukan serta reputasi Rosmah dan Pengarah Bahagian FLOM ketika itu, Datuk Seri Azizah Abod yang merupakan kenalan lama Rosmah sejak zaman universiti, selain segala permintaan daripada bahagian itu akan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan dengan cepat dan secara responsif tanpa dibebani kerenah birokrasi.

Menurut Rizal, pada 2012 beliau telah menubuhkan pasukan cybertroopers atas arahan Rosmah yang ditugaskan untuk memantau kandungan media sosial yang kritikal atau memberi persepsi negatif terhadap Rosmah selain perlu menangkis dan memberi penjelasan ke atas setiap fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Rosmah kepada orang ramai.

“Pasukan cybertroopers ini beroperasi dengan dana yang diberikan oleh Datin Seri Rosmah sendiri di mana beliau memberikan kepada saya wang tunai RM100,000 setiap bulan untuk membiayai pasukan tersebut. Saya sendiri di dalam kapasiti saya sebagai pegawai khas bertanggungjawab untuk menangkis fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Datin Seri Rosmah dan ini saya lakukan melalui akaun Facebook saya sendiri serta kenyataan media yang saya keluarkan,” katanya.

Menurut Rizal, setiap hari terdapat berita-berita negatif melibatkan integriti dan kedudukan Rosmah sebagai isteri perdana menteri terutamanya di media sosial, dan disebabkan itu pejabat Perdana Menteri pernah menasihatkan Bahagian FLOM termasuk beliau untuk mengurangkan publisiti Rosmah dalam media massa dan semasa musim Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, saksi itu juga banyak ditugaskan untuk memberi ceramah penjelasan isu semasa berkaitan Rosmah dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional untuk menjernihkan persepsi pengundi-pengundi terhadap Rosmah.

Saksi itu juga berkata, hubungan beliau dan Rosmah yang semakin akrab menyebabkan isteri bekas perdana menteri itu mula mempercayainya dengan tugas-tugas lebih sulit dan lebih peribadi, antaranya beliau beberapa kali diarahkan untuk menguruskan kutipan dana atau sumbangan yang mahu diberikan kepada Rosmah secara peribadi oleh individu-individu tertentu.

Dalam pengetahuannya, Rizal berkata, ada beberapa usahawan atau kontraktor yang telah berjaya mendapatkan projek kerajaan setelah mereka dibantu oleh Rosmah dan pada kebiasaannya usahawan atau kontraktor itu akan memberi sesuatu hadiah termasuk wang tunai kepada Rosmah sebagai tanda penghargaan kerana telah membantu mereka.

“Setelah mendapat kepercayaan daripada Datin Seri Rosmah, saya telah mula ditugaskan oleh beliau untuk menerima hadiah-hadiah bagi pihak beliau termasuk wang tunai yang ingin disampaikan kepada beliau daripada usahawan dan kontraktor tersebut.

 

Sumber: Malaysiakini