Mahkamah enggan benarkan Zahid ‘berbulan madu’, bicara disambung 1 September ini
Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi berkait sistem visa asing untuk hari ini, namun perbicaraan akan disambung pada 1 Sept kerana ia membabitkan “kepentingan awam”.
Hakim Mohd Yazid Mustafa menegaskan, perbicaraan perlu bersambung minggu depan, bergantung kepada keadaan Zahid.
“Saya faham beliau akan menjalani pembedahan, dan berapa lama masa yang diperlukan untuk pulih tertakluk kepada pengesahan doktor.
“Ini kes membabitkan kepentingan awam, dan mahkamah berharap pihak pendakwaan dan pembelaan dapat mencari tarikh yang dipersetujui untuk perbicaraan diteruskan,” katanya.
Zahid berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem visa asing kerajaan. Kes ini kali terakhir didengar pada 27 Mei.
Terdahulu, peguam Zahid, Ahmad Zaidi Zainal, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital atas kecederaan yang dialaminya akibat jatuh.
“Sebuah Mahkamah Tinggi lain telah memanggil doktornya untuk menerangkan situasinya lewat hari ini,” katanya.
Semalam, Zahid tidak hadir pada pendengaran penghujahan bagi satu lagi kes rasuahnya membabitkan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah dimasukkan ke hospital Ahad lalu.
Peguamnya berkata, pembelaan dapat diteruskan dengan penghujahan di akhir kes pendakwaan, namun pihak pendakwaan menegaskan, undang-undang memperuntukkan Zahid hadir.
Sumber – FMT