Mahkamah kekalkan keputusan saman Anwar terhadap KJ
Khairy Jamaluddin Abu Bakar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Isnin, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.
Ia juga merujuk kepada perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini, supaya Ahli Parlimen Rembau itu membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar, seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Ia selepas panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Lee Swee Seng bersidang bersama Datuk Darryl Goon Siew Chye dan Datuk Ghazali Cha sebulat suara mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2017.
Panel kemudian menolak rayuan berkenaan dengan kos sebanyak RM50,000.
Mahkamah turut menolak rayuan Khairy terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang membatalkan permohonannya untuk meminda penyataan pembelaan bagi menyatakan bahawa kenyataan beliau itu adalah komen yang wajar, dengan kos sebanyak RM10,000.
Ketika membacakan penghakiman dalam prosiding secara dalam talian, Hakim Darryl berkata, panel mendapati tiada merit dalam rayuan Khairy malah ganti rugi yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak berlebihan.
Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO, pada 7 Mac 2008.
Beliau mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di portal berita.