Mahkamah Sepanyol tolak rayuan waris Sultan Sulu, usaha Petronas pertahan aset yang dirampas temui kejayaan

Mahkamah Sepanyol tolak rayuan waris Sultan Sulu, usaha Petronas pertahan aset yang dirampas temui kejayaan

MAHKAMAH Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa mereka ‘waris Sultan Sulu’, bagi mencabar pembatalan pelantikan Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu, kata Azalina Othman Said.

Memetik portal The Malaysian Insight, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan baru sahaja menerima pengesahan rasmi berhubung rayuan tersebut.

“Pembatalan pelantikan Stampa (yang muktamad dan mengikat) turut disahkan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

“Justeru, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol sekali lagi mengesahkan pendirian Malaysia,” katanya.

Pada 29 Jun 2021 Mahkamah Tinggi Madrid (HCJM) membatalkan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara, dan kesemua tindakan serta keputusan yang dibuat oleh beliau terbatal.

HCJM merupakan mahkamah Sepanyol yang pada mulanya melantik Stampa pada 2019 (tanpa mendengar Malaysia berikutan perkhidmatan yang tidak sah).

“Hasil daripada pembatalan pelantikan Stampa di Sepanyol, beliau tidak lagi mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai penimbang tara dan harus segera menamatkan prosiding timbang tara yang dikatakan,” katanya.

Tambah beliau, keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol ini membuktikan dasar kerajaan untuk bersungguh-sungguh mempertahan Malaysia di setiap mahkamah dan forum, menggunakan semua kuasa, hak dan sumber bagi memastikan kepentingan negara, kekebalan kedaulatan dilindungi setiap masa. – 2 Februari 2023.