Mahkamah tolak permohonan tangguh hukuman, Siti Bainun kekal di penjara 12 tahun

Mahkamah tolak permohonan tangguh hukuman, Siti Bainun kekal di penjara 12 tahun

Hasrat pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk menangguh pelaksanaan hukuman atas ksalahan mendera Bella tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti tujuh dapatan dan hujahan serta afidavit kedua-dua pihak.

“Selepas meneliti afidavit dan hujahan pihak-pihak dan maklumat diperolehi mahkamah di dalam Sistem Pengurusan Kes Mahkamah (CMS) yang merekodkan apa yang berlaku di dalam perbicaraan kes ini, mahkamah memutuskan isu yang dihujahkan peguam bela pemohon tidak dapat menunjukkan alasan yang dikemukakan adalah terjumlah kepada keadaan khas atau luar biasa.

“Pemohon disabitkan oleh hakim mahkamah sesyen yang turut menolak permohonan sama ini dengan alasan yang mahkamah ini bersetuju dengannya. Di atas sebab-sebab di atas, permohonan pemohon untuk penggantungan perlaksanaan adalah dengan ini ditolak,” katanya.

3 Mei lalu, mahkamah mendapati Siti Bainun bersalah atas kesalahan mendera dan menganiaya Bella dan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun bagi pertuduhan pertama dan 12 tahun bagi pertuduhan kedua dan kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan secara serentak.

Peguam mewakili Siti Bainun, Mohammad Farhan bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman itu dengan mengambil kira saiz badan dan tahap kesihatan anak guamnya yang juga telah insaf.

Namun, permohonan itu ditolak kerana alasannya tidak mempunyai merit.

“…pemohon menyatakan beliau menghadapi masalah kesihatan seperti asma, sakit hempedu dan gerd. Apa yang ada laporan perubatan biasa, surat kemasukan hospital dan gambar hidung dan bibir yang tidak dapat membantu mahkamah.

“Sebaliknya pihak pendakwa raya memfailkan afidavit jawapan dari Pegawai Perubatan Klinik Penjara Wanita Kajang, Dr Sunita S Samugam yang sudah memeriksa pemohon pada 12 Mei lalu mendapati pemohon dalam keadaan stabil dan tidak mengalami apa-apa komplikasi kesihatan dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.

“Malah, pihak penjara mempunyai kemudahan dan akses mencukupi untuk merawat dan menyelia kesihatan pemohon. Alasan pemohon menanggung ibu yang sakit dan tua adalah peribadi berkaitan dengan urusan keluarga,” katanya.