Main lato-lato boleh atasi masalah anak ketagih gajet

Main lato-lato boleh atasi masalah anak ketagih gajet

 

Ibu bapa diminta memantau anak mereka sewaktu bermain permainan lato-lato yang kini popular dalam kalangan kanak-kanak, bagi mengelakkan kecederaan.

Menurut Facebook Public Health Malaysia, permainan tersebut dikenali sebagai Clacker kira-kira 50 tahun lalu dan telah diharamkan Pengurusan Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) Amerika Syarikat kerana risiko kecederaan kepada kanak-kanak.

“Pada ketika itu, kerisauan utama adalah bebola pecah dan menyebabkan kecederaan kepada kanak kanak.

“Selepas 50 tahun, permainan ini popular di negara jiran indonesia dan kini berjangkit ke negara kita. Masih awal lagi, tetapi sudah ada kes-kes kecederaan melibatkan permainan ini,” katanya.

Dalam pada itu, pihak tersebut menjelaskan, sebenarnya permainan ini juga mempunyai kebaikannya.

“Ia melatih koordinasi, fokus dan kawalan motor. Cukup-cukuplah bermain gajet.

“Sebaiknya untuk mengelakkan kecederaan, pantau anak ketika bermain. Anak yang terlalu kecil yang masih belum stabil fungsi koordinasi mungkin kurang sesuai bermain,” jelasnya.

Selain itu, pencemaran bunyi mungkin membingitkan, sebab itu penting untuk mengehadkan tempoh bermain.

“Kalau siang malam main tanpa henti, memang tertekan ibu ayah,” katanya.