Majlis Peguam dakwa Pas lebih sudu dari kuah

Majlis Peguam dakwa Pas lebih sudu dari kuah

Seorang Ahli Parlimen dan dua senator PAS membantah permohonan Badan Peguam supaya rujukan beberapa persoalan perundangan berkait pengisytiharan darurat ke Mahkamah Persekutuan didengar bersama.

Peguam Abdul Rashid Ismail, yang mewakili Badan Peguam, berkata beliau memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid, mengenai perkara itu hari ini selepas menerima surat daripada peguam mewakili Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, serta (senator) Khiril Nizam Khirudin dan Mohd Apandi Mohamad.

“Kami ingin permohonan kami, yang serupa dengan yang difailkan oleh tujuh badan bukan kerajaan (NGO), didengar bersama untuk menjimatkan masa mahkamah dan mengelakkan terlalu banyak keputusan dibuat,” kata beliau kepada hakim sewaktu pengurusan kes hari ini.

Rashid berkata, peguam yang mewakili responden, iaitu NGO, kerajaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tiada masalah dengan permohonan Badan Peguam itu.

Pemimpin PAS sebelum ini dibenarkan untuk menjadi pihak membantah saman oleh Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pusat Kewartawanan Bebas, Aliran, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia, dan Save Rivers.

Menurut Rashid, hakim telah menetapkan 31 Mei untuk semua pihak hadir di hadapannya dan membuat penghujahan mengenai perkara itu.

Hakim sebelum ini menetapkan 22 Julai untuk mendengar tuntutan rujukan oleh NGO, yang memohon deklarasi bahawa Ordinan Darurat bercanggah dengan Perlembagaan.

Badan Peguam juga memfailkan saman untuk membatalkan beberapa peruntukan Ordinan Darurat atas sebab sama.

Antara peruntukan Ordinan yang terbabit adalah Seksyen 5, 11 (a) dan (b), 14, 15 dan 18 Ordinan Darurat No 1, yang berkait dengan pampasan aset, kuasa eksekutif dan legislatif, sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta undang-undang yang berkuatkuasa.

Ordinan berkenaan mula berkuat kuasa pada 11 Jan, sehingga 1 Ogos, atau lebih awal, jika situasi kesihatan awam di negara ini bertambah baik.

Badan Peguam dan NGO mendakwa kerajaan sudah mempunyai cukup kuasa untuk menangani krisis Covid-19 dan tidak perlu menggantung Parlimen. – FMT