Mak terkejut abang jumpa karung kuning bawah meja gerai sampai lima beranak jatuh sakit, lepas 6 bulan tak sangka ini yang terjadi

Mak terkejut abang jumpa karung kuning bawah meja gerai sampai lima beranak jatuh sakit, lepas 6 bulan tak sangka ini yang terjadi

 

SEPERTI biasa, Alif setia menemani ibunya menjual nasi lemak dan kuih-muih secara kecil-kecilan di hadapan rumah mereka yang terletak di sebuah kampung di Kuala Lipis, Pahang.

Itulah rutin Alif setiap pagi, sejak hampir tiga bulan yang lalu.

Dia yang baru masuk darjah dua menemani ibunya di gerai kerana sesi persekolahannya bermula pada sebelah petang.

Ibu Alif, Siti Aminah atau lebih dikenali dengan panggilan Acik Siti oleh penduduk kampung, cuba berniaga sarapan kerana mahu membantu menambah pendapatan keluarga.

Lebih-lebih lagi selepas dua kakak kembar Alif, Asyikin dan Afifah baru melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah berasrama di Kuantan dan abang sulungnya, Amran, baru mendaftar di sebuah kolej matrikulasi.

Pendapatan bapa Alif sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah syarikat kecil di pekan tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga mereka yang semakin meningkat.

Alif ternyata gembira melihat wajah ibunya setiap kali nasi lemak dan kuih habis terjual setiap pagi.

nasi lemak

Penat yang dirasai ibunya yang bangun seawal jam 3.30 setiap pagi untuk menanak nasi dan membuat kuih, benar-benar berbaloi.

Namun kegembiraan keluarga Alif tidak bertahan lama.

Alif masih ingat, pada suatu pagi, gerai kecil ibunya dikunjungi oleh Makngah Esah, seorang tukang jahit di kampung yang boleh dikatakan kawan rapat ibunya.

“Siti, kenapa aku tengok muka kau macam pucat je pagi ni? Kau tak sihat ke?” tanya Makngah Esah.

Ibu Alif tersentak dengan teguran tersebut dan menafikan dirinya sakit atau demam.

“Kalau kau sihat, Alhamdulillah. Aku risau kau sakit saja sebab muka kau ni aku tengok lain betul,” kata Makngah Esah lagi.

Sejak ditegur Makngah Esah, Alif perasan ibunya seperti kurang ceria dan tidak bercakap sebagaimana kebiasaan, malah ada kalanya termenung.

“Abang, saya rasa esok tak dapat nak meniaga. Saya macam tak sedap badan. Sejak seminggu ni, saya kerap mimpi yang aneh-aneh… pelik betul,” Alif terdengar perbualan ibu dan bapanya pada satu malam.

“Kalau macam tu, awak berehatlah dulu. Tiga bulan ni pun abang tengok awak kurang rehat… hari-hari bangun awal nak berniaga. Tak payah berniaga dulu. Nanti sakit, lagilah abang risau,” jawab bapa Alif.

Aku sakit hati sebab pelanggan aku ramai tak beli dah sejak kau meniaga. Aku tak patut buat macam tu sebab rezeki masing-masing Allah tentukan. – Mak Milah

Hendak dijadikan cerita, ketika cuti persekolahan beberapa hari kemudian, abang dan kakak kembar Alif pulang bercuti di kampung.

Satu petang, abang Alif iaitu Amran yang membersihkan halaman rumah, terjumpa satu karung kain kecil berwarna kuning.

“Mak, Amran jumpa karung ni dekat bawah meja gerai mak. Mak punya ke?” tanya abang sulung Alif.

Terkejut melihat karung kain yang ditunjukkan, ibu Alif segera menyuruh abangnya mencampakkan benda tersebut ke dalam longgokan sampah yang sedang dibakar di tepi rumah.

Dua hari kemudian, badan Amran tiba-tiba dinaiki bintik merah seperti demam campak siap dengan ‘pakej’ gatal merenyam.

Perkara yang sama kemudian berlaku pada Asyikin dan Afifah, malah Alif juga tidak terkecuali jatuh sakit.

Manakala si ibu pula diserang batuk yang teruk seperti batuk kering sehingga kadang-kadang termuntah.

Ubat yang diambil di klinik langsung tidak membantu, malah keempat-empat beradik itu tetap gatal merenyam.

sihir 1

Bapa Alif kemudian menghubungi abangnya yang juga seorang ustaz dari Jerantut dan menceritakan kisah yang berlaku.

Amin, aku rasa ada orang hantar ‘sesuatu’ dekat keluarga kau. Dia macam tak suka sebab jualan isteri kau laku.

Macam inilah, aku cuba bantu mana yang boleh… aku buatkan air penawar untuk kamu sekeluarga mandi, minum dan renjis dekat empat penjuru rumah. Selebihnya, amalkan doa yang aku ajar nanti,” kata bapa saudara Alif, Ustaz Hamdan ketika berkunjung ke rumah mereka.

Atas izin Allah, mereka sekeluarga mulai beransur pulih.

Namun, ibu Alif mengambil keputusan untuk tidak lagi meneruskan jualan nasi lemak sejak insiden itu sungguhpun tidak mengetahui gerangan pihak yang dengki sehingga tergamak menyihir mereka sekeluarga.

Lima bulan kemudian, Alif dan keluarganya berpindah ke Kuala Terengganu kerana bapanya mahu mengusahakan kebun peninggalan arwah datuknya yang baru meninggal dunia.

Pada hari Alif sekeluarga mahu berangkat ke Kuala Terengganu, tiba-tiba rumah mereka didatangi oleh Mak Milah, seorang jiran yang tinggal di hujung kampung.

“Siti, aku datang ni ada hajat. Aku rasa tak tenang dan gelisah saja sejak beberapa bulan ni. Aku malu tapi aku terpaksa juga beritahu.

“Aku sebenarnya nak minta maaf pada kau sekeluarga… sebab… aku yang hantar ‘barang’ pada kau. Aku termakan hasutan orang yang suruh aku buat sesuatu supaya nasi lemak kau tak laku.

“Aku sakit hati sebab pelanggan aku ramai tak beli dah sejak kau meniaga. Aku tak patut buat macam tu sebab rezeki masing-masing Allah tentukan. Aku nak minta maaf sangat, Siti,” kata Mak Milah dalam juraian air mata.

Ibu dan bapa Alif tergamam mendengar pengakuan tersebut, namun mereka enggan mengungkit kisah lama apatah lagi mereka akan memulakan kehidupan baharu di Kuala Terengganu.

“Saya maafkan Kak Milah. Saya juga nak minta maaf sebab tanpa sedar, saya rupanya buatkan Kak Milah sakit hati. Tak apalah, kita dah pun bermaaf-maafan. Kita buka buku baru ya kak,” kata ibu Alif, juga dengan mata yang berkaca-kaca.

Sebulan selepas berpindah ke Kuala Terengganu, pada satu pagi, ibu Alif mendapat panggilan telefon daripada Makngah Esah.

“Siti, aku nak beritahu berita sedih ni. Ingat tak Mak Milah? Dia dan suaminya meninggal dunia awal pagi tadi. Motor mereka dilanggar kereta masa nak pergi solat Subuh dekat masjid.

“Sejak kamu pindah, dia pun tak meniaga dah nasi lemak. Banyakkan masa pergi masjid saja,” beritahu Makngah Esah.

“Innalillahiwainnailaihirojiun,” bisik ibu Alif perlahan, serta merta air mata mengalir di pipi.

Sungguh, dia ikhlas memaafkan Mak Milah malah tidak pernah menceritakan kepada sesiapa pun, hatta kepada Makngah Esah mengenai pengakuan wanita itu yang menyihir keluarganya.

Sungguhpun sudah 20 tahun berlalu, namun kisah tersebut tetap tidak akan dilupakan oleh Alif dan keluarganya.